KLUANG - Tinggal di pedalaman dan tidak memiliki kereta mengakibatkan seorang ibu tunggal yang menghidap strok tidak dapat menjalani pemeriksaan dan rawatan sempurna di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Noryati Ismail, 47, tinggal di Kampung Tanjung, Renggam dekat sini bersama-sama tiga anak lelakinya yang berusia 19 hingga 28 tahun.
Dia yang diserang strok dua bulan lalu bergantung dengan tiga anaknya itu sejak kematian suaminya, Bambang Mulyowinarso 10 tahun lalu.
Anak keduanya, Mohd Khairul Fadzli, 24, berkata, dia tidak bekerja dan memberi sepenuh tumpuan menjaga ibunya.
Menurutnya, abang sulung dan adiknya bekerja kilang untuk menyara mereka empat beranak, namun tidak cukup menampung keperluan perubatan ibunya termasuk menyediakan lampin pakai buang.
"Untuk membawa ibu keluar menjalani rawatan susulan memang sukar kerana kami hanya ada motosikal untuk bergerak sedangkan ibu lumpuh sebelah kiri badan kerana penyakit angin ahmar yang dihidapinya.
"Jarak dari kampung kami ke HEBHK hanya kira-kira 20 kilometer tetapi kami tidak mampu menghantarnya kerana tiada kereta.
"Apa yang dapat kami lakukan hanyalah keluar membelikan sendiri perubatan yang mampu untuk ibu. Ini dilakukan setiap kali adik dan abang menerima gaji bulanan mereka," katanya.
Mohd Khairul berkata demikian selepas menerima lampin pakai buang sumbangan Pengerusi Persatuan kebajikan Golongan B40 Negeri Johor, Datuk Mohd Fadel Alwi di kampung itu pada Selasa.
Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia Negeri Johor (Iklas), Kamal Ariffin Abdul Rahman dan Pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Simpang Renggam, Azman Omar.
Sementara itu, Mohd Fadel berkata, pihaknya akan memanjangkan masalah dihadapi wanita ibu tunggal itu kepada pihak berkaitan khususnya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kluang.
Katanya, melalui maklumat anaknya, Noryati pernah bekerja di sebuah kilang sebelum ini dan diharapkan mempunyai caruman mencukupi bagi membolehkannya menuntut sebarang pampasan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Noryati Ismail 0110829000111149 atau hubunginya di talian 013-7563096.