JAWA - Perkampungan Tarikolot di daerah Majalengka Jawa Barat, Indonesia bagaikan 'kampung mati' dan penuh misteri apabila ratusan rumah kosong tidak berpenghuni.
Bagaimanapun, Detik News melaporkan, bencana alam termasuk pergerakan tanah kerap berlaku sekali gus mengancam keselamatan penduduk antara faktor kampung itu sunyi hingga memaksa 180 rumah dikosongkan sementara 253 buah keluarga terpaksa dipindahkan.
Kejadian pergerakan tanah yang berlaku pada tahun 2006 mengakibatkan rumah penduduk rosak teruk dan lebih buruk lokasi geografi perkampungan itu berada di zon merah.
Ketua kampung Sidamukti Karwan berkata, walaupun penduduk menyayangi rumah dan kampung itu tetapi mereka terpaksa berpindah kerana faktor keselamatan.
"Selepas empat tahun meninggalkan perkampungan itu, pada 2009 kami diberi penempatan semula di lokasi baharu iaitu kampung Buahlega.
"Sebanyak 253 keluarga sudah berpindah ke rumah baharu," katanya.
Menurut Karwan, ketika penduduk mula berpindah, rumah-rumah lama di kampung Tarikolot dibiarkan tanpa dirobohkan.
"Mungkin rumah masih elok dan cantik dianggap penuh misteri kerana tiada penghuni. Ada juga beranggapan kampung hari ini seperti 'kampung mati'.
"Bagaimanapun ada juga lapan keluarga kira-kira 13 orang tidak berpindah dan mereka selesa berada di situ walaupun lokasi itu diisytiharkan zon merah dan tidak selamat diduduki," katanya.
Sebelum ini tular di laman sosial sebuah perkampungan sunyi dan 'berhantu' gara-gara tiada penghuni walaupun kediamannya masih cantik.
Sehingga timbul tanda tanya warga maya mengenai kewujudan kampung yang dianggap penuh misteri itu.