KUALA LUMPUR - Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan saman terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bagi mendapatkan deklarasi mahkamah mengenai isu berkenaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.
Mereka ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Center for Independent Journalism (CIJ), Aliran, Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) dan Save Rivers.
Dalam satu kenyataan media, ketujuh-tujuh NGO itu berkata, mereka bimbang perisytiharan darurat dan Ordinan Darurat menyebabkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak dapat memenuhi kewajiban Perlembagaan sebagai tempat perbahasan dan pengundian bagi Ordinan Darurat.
Kesemua NGO itu memohon mahkamah untuk mengisytiharkan, sekiranya mereka mempunyai kuasa untuk menyemak sebarang percubaan untuk memintas peruntukan Perlembagaan yang memerlukan semua undang-undang dibawa ke Parlimen terlebih dahulu.
Secara khusus, katanya, mereka mahu mendapatkan perisytiharan mahkamah sama ada Ordinan itu atau Seksyen 14 Ordinan yang telah menggantung Parlimen dan Perkara 150(8) Perlembagaan yang mengetepikan bidang kuasa mahkamah adalah tidak berperlembagaan.
NGO itu turut mengutarakan beberapa persoalan sama ada proklamasi darurat dan Ordinan Darurat perlu dibentangkan di Parlimen sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut mereka, kehilangan semak dan imbang dalam demokrasi berparlimen akan mengakibatkan kesan jangka panjang yang tak terpulihkan dan akan memusnahkan negara kerana kerajaan yang tidak disemak, sekali gus mudah menjadi kerajaan yang drakonian dan kleptokratik.
"Kami yakin bahawa kerajaan sudah mempunyai kuasa yang mencukupi untuk menangani krisis Covid-19 dan mereka tidak perlu menggantung Parlimen melalui Ordinan Darurat,” katanya.
Baru-baru ini, tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) iaitu Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari mengemukakan permohonan untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan bagi menuntut pengisytiharan darurat dan penggantungan persidangan Parlimen dan DUN.
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengajukan izin untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pemerintah menuntut proklamasi darurat.
ARTIKEL BERKAITAN: Anwar cabar tindakan PM nasihat Agong gantung Parlimen