SHAH ALAM - Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas telah melakukan kesilapan dalam tafsirannya terhadap perlembagaan berhubung isu peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada Februari tahun lalu.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, kenyataan Tommy di dalam buku terbaharunya yang mengatakan bahawa tindakan bersendirian dilakukan oleh Dr Mahathir itu tidak membawa implikasi kepada peletakan jawatan kesemua Jemaah Menteri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perdana Menteri yang tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat hendaklah meletak jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Dari segi keperlembagaan, apabila seseorang Perdana Menteri itu telah meletak jawatan, maka seluruh Jemaah Menteri akan turut terbubar.
"Sama ada peletakan jawatan tersebut dilakukan adalah di atas kehendak dan kerelaan sendiri Perdana Menteri atau sebaliknya, ia adalah tidak relevan kepada kedudukan Jemaah Menteri.
"Jika sekalipun seseorang Perdana Menteri itu meletak jawatan dalam keadaan beliau masih memiliki sokongan majoriti seperti yang berlaku ketika Dr Mahathir meletakkan jawatan pada tahun 2003, ia juga tidak relevan kepada kedudukan Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Muhammad Rafique berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Tommy di dalam buku 'My Story: Justice in the Wilderness' yang menyatakan peletakan jawatan Dr Mahathir tidak membawa kepada peletakan Jemaah Menteri.
Dalam pendedahan menerusi buku tersebut,Tommy telah mengkritik keputusan Dr Mahathir membubarkan Kabinet dan berkata barisan pentadbiran kerajaan ketika itu sepatutnya perlu dikekalkan.
Menurut Tommy, peletakan jawatan Dr Mahathir adalah bersifat peribadi dan hanya atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri memandangkan tindakan itu tidak dibincangkan dalam Kabinet.
Mengulas lanjut, Muhammad Rafique berkata, terdapat beberapa peruntukan sedia ada seperti Perkara 7 (1) Perlembagaan Negeri Sabah dan Perkara XVI (6) Perlembagaan Negeri Perak yang mempunyai persamaan dengan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan yang boleh dijadikan sebagai perbandingan.
Menurutnya, kesan keperlembagaan daripada peruntukan Perlembagaan kedua-dua negeri tersebut dapat dilihat daripada beberapa keputusan Mahkamah yang pernah dijalankan; antaranya seperti kes melibatkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam isu berkaitan jawatan Menteri Besar Perak.
"Di dalam beberapa kes terdahulu, Mahkamah secara jelas memutuskan bahawa apabila seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri telah kehilangan majoriti, maka seluruh 'Executive Council' atau Kabinet adalah secara automatiknya terbubar.
"Jadi ia jelas bahawa kenyataan Tommy seperti pada muka surat 472 adalah satu kekhilafan pentafsiran keperlembagaan (constitutionally erroneous) di mana ia bercanggah dengan peruntukan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.