SEPANG - Empat warga Pakistan yang ditahan berhubung siasatan kegiatan pemalsuan slip saringan Covid-19 untuk penumpang warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dituduh di mahkamah pada Selasa.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, keempat-empat suspek terbabit dituduh di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.
"Perkara ini telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya sebelum mendapat arahan pertuduhan empat suspek terbabit.
"Namun, seorang warga Pakistan merupakan dalang kegiatan itu masih lagi dalam siasatan polis sebelum dituduh," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Imran berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sekiranya masih terdapat ahli geng berkenaan yang masih bebas.
Pada 27 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA berjaya menumpas Geng Habib dengan tertangkapnya lima warga Pakistan dalam serbuan berasingan di KLIA dan Klang, Selangor serta Johor pada 20 Januari hingga 25 Januari.
Sindiket yang didalangi seorang lelaki warga Pakistan berusia 27 tahun itu menjual setiap slip saringan palsu dengan bayaran RM300 bagi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Siasatan polis mendapati sindiket berkenaan telah aktif sejak Ogos tahun lalu.