Lebih 100 juta populasi dunia sudah divaksin

Iklan
Gambar hiasan

PARIS - Lebih 100 juta dos vaksin Covid-19 telah diedarkan ke seluruh dunia.

Sejak beberapa bulan lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyelar sikap mementingkan diri sesetengah negara kaya hingga meminggirkan negara miskin daripada mendapatkan akses kepada vaksin Covid-19.

Iklan
Iklan

Data AFP pada Selasa itu menunjukkan sebanyak 101,317,005 dos vaksin telah diagihkan kepada 77 wilayah dan negara majoriti kaya.

Ia diperoleh berdasarkan beberapa sumber rasmi dan ia menunjukkan sebanyak 29 negara miskin masih belum memulakan program vaksinasi mereka, manakala negara kaya didakwa memonopoli lebih dua pertiga daripada vaksin tersebut.

Iklan

Bagaimanapun, terdapat beberapa negara kaya masih belum memulakan program vaksinasi tersebut termasuk Jepun, Korea Selatan dan Australia.

Difahamkan, lebih satu pertiga penduduk dunia atau 35 peratus populasi menetap di negara yang masih belum melancarkan program vaksinasi.

Iklan

Ketika ini, Israel mendahului perlumbaan program vaksinasi tersebut dengan 37 peratus daripada populasi mereka telah diberikan suntikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala lebih satu perlima sudah mendapatkan dos suntikan kedua.

Ia disusuli dengan Amerika Utara, Eropah dan Teluk Parsi yang mendapat sebahagian besar bekalan dos vaksin tersebut.

United Kingdom (UK) mendahului kumpulan itu secara per kapita dengan 13.7 peratus penduduk negara itu sudah diberikan suntikan vaksin diikuti dengan Amerika Syarikat sebanyak 7.9 peratus atau 32.2 juta dos suntikan.

Pesaing terdekat UK di Eropah ialah Serbia, negara di luar blok berkenaan yang telah memberikan vaksin Sinopharm dihasilkan China dan Sputnik V dihasilkan Rusia kepada 6.2 peratus populasinya.

Sejak beberapa minggu lalu, Kesatuan Eropah (EU) terlibat perselisihan dengan AstraZeneca berhubung akses kepada bekalan vaksin dengan hanya 12.7 juta dos suntikan diberikan kepada 2.3 peratus populasi di blok terbabit.

Selain itu, Malta mencatatkan sebanyak 5.4 peratus, Denmark dengan 3.2 peratus dan Poland 3.1 peratus.

China pula sudah memberikan sebanyak 24 juta suntikan dos, manakala India hanya memberikan empat juta dos kepada sejumlah kecil penduduknya.

Penghantaran pertama bekalan vaksin di bawah skim Covax yang disokong WHO untuk memastikan pengedaran secara adil dijangka bermula pada bulan ini.

Setakat ini, terdapat tujuh vaksin yang perlu diberikan secara dua dos yang digunakan di seluruh dunia.

Penggunaan vaksin dihasilkan Pfizer-BioNTech (AS-Jerman) dan Moderna (AS) menguasai rantau Amerika Utara, Eropah, Israel dan negara Teluk.

AstraZeneca-Oxford (UK) pula digunakan secara meluas di London, India, Myanmar, Sri Lanka dan Maghribi serta dijangka diedarkan di Eropah.

New Delhi turut menggunakan vaksin dihasilkan firma tempatan, Bharat Biotech, manakala vaksin Sputnik V (Rusia) digunakan di Moscow, Argentina, Algeria, Belarus dan Serbia.

Vaksin Sinopharm digunakan di Beijing, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Serbia, Seychelles dan Jordan manakala Indonesia serta Turki menggunakan vaksin Sinovac yang juga dihasilkan China.

Vaksin Sinovac dan Sinopharm serta Sputnik V dikatakan masih belum mendapat kelulusan penuh pihak berkuasa kesihatan Beijing atau Moscow. - AFP