"KAMI amat bangga dengannya. Ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan kami atau sesiapa jua," kata Desmond David mengenai kejayaan anaknya, Nicol merangkul gelaran berprestij Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia pada Isnin.
Desmond berkata, pencapaian itu sama sekali tidak dijangka, namun beliau percaya ia adalah disebabkan usaha dan kerja keras rakyat Malaysia serta penggiat Sukan Skuasy yang mengundi untuk Nicol dari 8 Januari hingga 1 Februari.
"Kami menyanjung dan berterima kasih atas usaha mereka," katanya.
Desmond berkata, beliau dan keluarga tidak pernah menjangkakan puteri ketiganya itu akan meraih pencapaian sebegitu besar dalam sukan skuasy.
"Semasa ketiga-tiga anak perempuan saya mula berjinak-jinak dengan permainan skuasy, saya hanya mahu mereka gembira melakukan aktiviti sukan.
"Selepas cemerlang di peringkat Junior, Nicol meluahkan hasrat untuk mencuba di peringkat Profesional manakala dua lagi anak gadis saya iaitu Lianne Marie dan Cheryl Therese mengambil keputusan melanjutkan pelajaran di universiti.
"Kami sendiri tidak tahu apa yang telah kami lakukan dengan tepat... kami sekadar memberikan sokongan dan percaya Nicol akan sentiasa lakukan yang terbaik tanpa mengira apa jua keputusannya," katanya.
Desmond berkata, Nicol kini memiliki fasa baharu dalam kehidupan pasca pertandingan dan akan berdepan kesibukan.
Katanya, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara semasa Nicol ke Amsterdam serta dilatih dan mendapat tunjuk ajar daripada Liz Irving seperti yang diidamkannya.
Bekas pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut itu meraih undi majoriti dalam pengundian yang diadakan secara dalam talian di laman sesawang rasmi Sukan Dunia https://www.theworldgames.org, menewaskan 23 atlet lain bagi memenangi gelaran tersebut.
Sebagai calon tunggal dari Asia, Nicol membuktikan bahawa beliau berada dalam kelasnya yang tersendiri sejak hari pertama pengundian pada 8 Jan apabila meraih sejumlah 318,943 undi dan jauh meninggalkan pencabar terdekatnya, James Kehoe, atlet sukan tarik tali dari Ireland dengan kelebihan 200,000 undi.
Kehoe meraih 113,120 undi bagi tempat kedua diikuti atlet angkat berat dari Ukraine, Larysa Soloviova, di tempat ketiga dengan 80,790 undi. - Bernama