SASARAN jangka pendek buat ketua jurulatih skuad tinju kebangsaan, Rustam Saidov adalah membawa balik lebih daripada sebutir emas pada Sukan SEA Vietnam 2021 yang dijadual dari 21 November hingga 2 Disember depan.
Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkata, sasaran jangka panjang bagi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Sydney 2000 itu adalah membantu petinju negara layak ke Sukan Olimpik.
Selain itu, jaguh tinju Uzbekistan itu perlu melahirkan petinju berpotensi untuk menang pingat pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel.
Bagaimanapun, Mohamad Iruan berkata, tugas utama jurulatih berusia 43 tahun itu adalah membangunakan secara menyeluruh sukan itu bermula dari peringkat akar umbi sehinggan peringkat elit.
"Beliau akan diberikan sebulan untuk menilai 20 pelatih yang ada dan memilih lima atau enam terbaik untuk persediaan khas Sukan SEA. Kita mesti dan wajib menang pingat emas di Vietnam.
"Kita mahu gunakan beliau sepenuhnya untuk pembangunan tinju di Malaysia. Beliau akan memberi tumpuan kepada atlet Program Podium dan Pelapis, serta laksanakan program pembangunan bakat mengikut peringkat umur untuk mencungkil bakat.
"Kita mahu melahirkan ramai petinju yang boleh menang di pelbagai peringkat seperti Sukan SEA, Asia dan Komanwel. Saya yakin dengan kesungguhan, ilmu dan pengalamannya untuk menaikkan sukan tinju di Malaysia," ujarnya.
Rustam, yang melaporkan diri di Kompleks Majlis Sukan Negara Taman Keramat pada Selasa telah ditawarkan kontrak selama dua tahun tetapi Mohamad Iruan menjangka kerjasama selama lima tahun untuk melihat hasilnya.
Pada Sukan SEA 2017, Malaysia memenangi sebutir emas menerusi Muhammad Fuad Redzuan dalam kategori ‘light flyweight’ tetapi hanya mampu membawa tiga gangsa daripada edisi 2019 di Filipina.
Sementara itu, Rustam berkata, beliau sedia memupuk dan mengekal mentaliti kemenangan dalam kalangan anak buahnya selain mengusahakan pembangunan untuk mempopularkan sukan itu di negara ini.
"Saya beritahu mereka supaya tegas dan bangga ketika berada dalam gelanggang. Berjuang untuk negara, Jalur Gemilang dan rakyat serta memikirkan tinju sepanjang masa,” katanya ketika memberi nasihat pada sesi latihan pertamanya.
"Kini seluruh dunia mempunyai masalah besar kerana pandemik Covid-19... tidak mungkin boleh menyertai pertanding di luar negara.
"Tetapi jika anda hanya berlatih tanpa pertandingan, maka ia tidak baik...jadi jika keadaan bertambah baik, kami mungkin akan ke Kazakhstan atau Uzbekistan untuk pertandingan peringkat lebih tinggi,” katanya. - Bernama