Harga sayur kembali stabil

Iklan
Tinjauan harga sayur-sayuran di Pasar Harian Selayang, Selangor.

SELAYANG - Harga sayur yang dikatakan melambung tinggi sekitar Januari lalu kini kembali stabil.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Harian Selayang dan sebuah pasar raya di Batu Caves di sini mendapati kebanyakan pengguna memaklumkan harga sayur dijual pada harga munasabah.

Iklan
Iklan

Seorang jururawat, Maimon Md Ramli, 56, berkata, dia yang berbelanja secara bulanan keperluan barang mentah tidak mengesan kenaikan harga mendadak barang mentah itu.

"Pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu mungkin harga naik sedikit disebabkan pembelian panik tetapi hari ini harganya standard. Ada yang murah dan ada juga sedikit mahal tetapi secara purata berpatutan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, peniaga sayur di Pasar Harian Selayang, Izwan Shah Kasim, 36, berkata, harga sayuran dalam pasaran kembali stabil selepas Pasar Borong Kuala Lumpur beroperasi semula.

"Harga sayur naik sebelum ini disebabkan Pasar Borong Kuala Lumpur ditutup selama beberapa hari menyebabkan stok terhad dan ada pembekal yang meletakkan harga tinggi.

Iklan

"Contohnya tomato yang pemborong jual sehingga RM6 sekilogram berbanding RM4 harga biasa. Apabila harga borong mahal, peniaga terpaksa jual mahal juga. Biasanya kami ambil untung RM2 bagi sekilogram,” katanya.

Di JOHOR BAHRU, tinjauan di Pasar Peladang Skudai mendapati harga kebanyakan sayur mengalami penurunan sekitar lima hingga 10 peratus.

Peniaga, Erlin Maskor, 47, berkata, penurunan harga sayur cukup melegakan selepas harganya melonjak naik sehingga membebankan peniaga yang terpaksa menjual pada harga tinggi.

"Kami peniaga ambil sayur daripada pemborong. Dua minggu lalu harga agak tinggi dan ada pemborong catu bekalan kepada peniaga. Kalau tempah 20 kilogram (kg) cuma dapat 5kg.

"Bagaimanapun dalam minggu ini kebanyakan harga sayur turun. Jika sebelum ini sekilogram kangkung RM10, tetapi sekarang RM6. Begitu juga cili merah sebelum ini RM20 sekarang RM18,” katanya.

Di KEDAH, peniaga mendakwa sebelum ini ada sayur mengalami kenaikan harga sehingga 50 peratus, tetapi kini harga kembali turun.

Peniaga sayur, Hazizi Razali, 50, berkata, harga melambung tinggi membabitkan beberapa jenis sayur antaranya cili merah dan kacang buncis yang dijual pada harga lebih RM20 sekilogram kini turun kepada RM10 hingga RM12 sekilogram.

"Apabila harga mahal, saya tidak berani jual sebab kasihankan pembeli yang merungut. Mereka mungkin beli barang lain yang lebih perlu terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sekarang harga makin turun, jadi kita jual macam biasa,” katanya.

Namun katanya, PKP yang dilaksanakan ketika ini menyebabkan pergerakan orang ramai terhad sehingga memberi kesan terhadap hasil jualan.

"Kami tidak pernah berdepan situasi sukar sebagaimana hari ini. Sepanjang 16 tahun berniaga, kali ini pendapatan terjejas. Bukan saya sahaja malah peniaga lain turut merungut terutama ketika sedang menghadapi pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, harga beberapa jenis sayuran menurun berbanding awal bulan lalu.

"Sebelum ini kita pernah jual cili merah tempatan RM25 sekilogram berbanding sekarang ini turun kepada lebih RM7 sekilogram.

"Tomato juga mencecah RM10 sekilogram sebelum ini, tetapi turun kepada hampir RM4 sekilogram dan timun pernah dijual lebih RM3 sekilogram, tetapi kini turun kepada 99 sen sekilogram,” jelasnya.

Beliau berkata, harga sayur jenis sawi cameron turut berlaku peningkatan mendadak sehingga RM9 sekilogram sebelum ini namun kini telah turun kepada kira-kira RM2 sekilogram.

Zamzuri berkata, pembelian bekalan terus daripada pembekal atau ladang selain pengurusan logistik tersendiri membolehkan pihaknya mengekalkan kualiti dan harga terbaik.