CGM bantu 250 keluarga terkesan banjir di Temerloh

Iklan
Muhamad Amirul (kanan) memberikan bantuan kepada salah seorang mangsa banjir.

SHAH ALAM - Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) membantu seramai 250 keluarga yang terkesan akibat bencana banjir di Temerloh, Pahang menerusi Misi Bantuan Banjir.

Pengarah Projek Misi Banjir CGM, Muhamad Amirul Syafik berkata, CGM bekerjasama dengan Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Yayasan Kubra bagi menjayakan misi itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, misi kali ini lebih memfokuskan kepada pemberian barangan kegunaan harian.

"Antara bantuan yang diberikan adalah set dapur, lampin bayi, tuala wanita, pelitup muka, air mineral, pek beras dan makanan serta bantal.

Iklan

"Alhamdulillah, bantuan yang disalurkan orang ramai dapat diserahkan terus kepada mangsa banjir.

"Semua agihan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan agihan hanya diserahkan secara berpusat. Ketua yang dilantik bagi setiap kampung akan bertanggungjawab mengagihkan bantuan kepada penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan
Muhamad Amirul sedang menyediakan barangan yang akan diberikan kepada mangsa banjir.

Muhamad Amirul berkata, selepas bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia, sokongan moral dan fizikal kepada mangsa banjir masih diperlukan.

Menurutnya, pelbagai jenis bantuan seperti baik pulih kerosakan rumah, bantuan barangan asas dan makanan amat diperlukan bagi memenuhi keperluan mereka yang terkesan.

"Kami masih memerlukan dana bantuan bagi dua fasa seterusnya yang akan dilaksanakan sehingga 7 Februari nanti.

"Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan kepada CGM melalui www.billplz.com/BanjirCGM atau salurkan ke akaun rasmi Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Maybank: 5648 1050 7826 (rujukan banjir),” katanya.