Mapim kesal masih ada individu kejar pingat, pangkat

Iklan
Mohd Azmi Abdul Hamid

SUNGAI PETANI - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kesal melihat sesetengah individu yang teruja mengejar pingat dan pangkat dalam keadaan rakyat sedang menderita.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya lebih teruja mendapat maklumat 30,000 warga miskin di Kuala Lumpur seperti yang dimaklumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berbanding maklumat mengenai menteri dan timbalan menteri mendapat pingat gelaran Datuk Seri dan Datuk, sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menteri dan timbalan menteri yang berjumlah 70 orang itu harus lebih memberi tumpuan kepada penderitaaan rakyat bukannya ghairah mendapat pingat serta gelaran.

"Kami kesal terdapat mereka yang masih teruja mengejar pingat dan pangkat dalam keadaan rakyat sedang berdepan keperitan hidup.

Iklan

"Kemiskinan bandar nampaknya semakin meningkat. Mereka yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan kini bertambah akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Azmi, pengangguran bandar akan menjadi parah jika usaha berkesan tidak dilaksanakan kerajaan.

Iklan

"Kami prihatian setelah dimaklumkan isu kelaparan dan trend berniat untuk bunuh diri juga bertambah di bandar selain golongan gelandangan yang hanya bergantung pada nasib.

"Kehidupan yang sangat tertekan dirasai oleh rakyat terutama golongan B40 malah pakej yang diumum oleh kerajaan dalam Bajet 2021 belum terlihat mampu menyelesaikan masalah,"katanya.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 jelas mendedahkan jurang kaya dan miskin yang semakin membesar.

"Secara umumnya ratusan ribu yang kini menganggur adalah dalam kalangan pekerja muda, bermakna produktiviti negara pasti menurun akibat mereka yang dibuang pekerjaan di pelbagai sektor.

"Namun, apa yang kita lihat ialah golongan elit M40 dan T20 tidak terkesan malah masih boleh hidup selesa," katanya.