SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang dilihat begitu bersemangat untuk mempertahankan kenyataan ‘u-turn’ beliau berhubung pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Malah katanya, Ahli Parlimen Shah Alam itu juga sanggup menuduh beliau menipu mengenai tahun pelaksanaan sistem berkenaan, walaupun bukti menunjukkan sebaliknya.
"Tauke Harapan coin ini tidak mengalah. Dia masih penuh semangat untuk pertahankan u-turn AES.
"Dia kata AES hanya mula dicadangkan pada tahun 2010. Tuduh saya tipu. Nasib baik Internet tidak lupa,”katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu turut ‘menasihatkan’ Khalid untuk membuat penyelidikan sebelum memberi kenyataan mengenai AES.
"Entah dari siapa dia pinjam mesin masa itu untuk dakwa AES hanya mula dicadang tahun 2010.
"Tetapi jelas mesin dia rosak. Jika tak ada mesin masa pun, boleh pakai Google untuk buat sedikit penyelidikan sebelum cuba membalas,”katanya.
Dalam hantaran sama, Najib turut meluahkan rasa pelik terhadap pendirian pejuang-pejuang berani mati yang ingin memansuhkan AES sewaktu pentadbiran BN.
"Dulu mereka keji AES. Hari ini mereka puji AES. Pertahankan AES.
"Kini, mereka kata tambahan 11 kamera baru AES adalah baik untuk rakyat,”katanya.