Hotel buat jualan murah untuk kekal beroperasi

Iklan
Jeffrey memegang plakad yang tertulis RM3 sahaja untuk mempromosi jualan makanan yang disediakan. - Foto Bernama

GEORGETOWN - Akibat perniagaan terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini membuatkan pengurusan Red Rock Hotel di Jalan Macalister di sini mengubah strategi perniagaan untuk kekal bertahan.

Pengurusnya, Jeffrey Lim berkata, disebabkan tiada pelanggan yang menginap di hotel pada waktu ini mendorong mereka mencari jalan lain dengan membuat jualan makanan seperti dilakukan penjaja kecil.

Iklan
Iklan

Sambil memegang plakad yang bertulis 'RM3 sahaja', Jeffrey dilihat cuba menarik perhatian orang ramai yang melalui Jalan Macalister bagi mempromosikan jualan yang disediakan oleh kakitangannya.

"Kami terpaksa lakukan ini bagi mencari pendapatan lain berikutan tiada pengunjung akibat PKP.

Iklan

"Dalam situasi terdesak ini kami tidak boleh berputus asa kerana ramai pekerja yang terkesan selain mahu memastikan kelangsungan operasi hotel," katanya dalam satu video yang tular di laman sosial sejak pagi Rabu.

Pekerja Red Rock Hotel menyediakan makanan untuk dijual di kaki lima hotel terbabit.

Dalam video berkenaan turut memaparkan pekerjanya yang sibuk mememasak dan menyediakan makanan untuk dijual di kaki lima hotel terbabit.

Iklan

Antara menu yang dijual seperti nasi ayam, nasi itik, kuey teow goreng, mi udang dan nasi goreng.

Jeffrey berkata, pihaknya tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan kerana tidak banyak bantuan yang diperuntukkan untuk industri perhotelan.

Difahamkan setakat ini lebih lima hotel terkemuka di negeri ini telah menghentikan perniagaan mereka disebabkan tidak lagi mampu menanggung kos operasi.

Menurut Persatuan Hotel Malaysia (MAH) sebelum ini, sebanyak 15 peratus hotel menghentikan operasi kerana tekanan dihadapi berikutan pandemik Covid-19.