Lapan individu ditahan berjudi di inap desa

Iklan
Pegawai Turus D7 IPK Pulau Pinang, Deputi Superintendan Akmal (tengah) mengetuai serbuan yang dilakukan di sebuah inap desa di Persiaran Karpal Singh pada awal pagi Rabu.

GEORGETOWN - Lapan individu termasuk seorang wanita ditahan ketika sedang leka berjudi di sebuah inap desa di Persiaran Karpal Singh di sini awal pagi Rabu.

Serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7) dengan kerjasama Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira jam 2.30 pagi.

Iklan
Iklan

Difahamkan kumpulan itu menyewa unit inap desa berkenaan semata-mata mahu berkumpul dan berjudi kononnya lokasi terbabit selamat daripada pengetahuan pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner, Rahimi Ra'ais berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas daun pakau, buah dadu dan wang tunai berjumlah RM13,000.

Iklan

Menurutnya, polis turut menemui buka nota yang berkaitan dengan aktiviti pinjaman wang haram atau ah long daripada salah seorang daripada mereka.

"Kita percaya mereka menyewa inap desa ini bagi mengaburi mata pihak polis untuk menjalankan aktiviti perjudian, namun kegiatan mereka dapat dikesan oleh polis melalui hasil maklumat awam dan risikan dijalankan.

Iklan

"Selain ditahan atas kesalahan berjudi, kesemua mereka turut didapati ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ketika ini,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Rahimi berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia di antara 20 hingga 40 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, mereka kini direman dan akan disiasat Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 selain disiasat mengikut Peraturan 16 (1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan ingkar dengan PKP.

Katanya, lelaki yang terlibat dengan kegiatan ah long akan disiasat Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Sementara itu, Rahimi memberi amaran pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati menganjurkan aktiviti perjudian haram di negeri ini terutamanya dalam tempoh PKP.