SETIU - Kesukaran untuk mendapatkan liputan rangkaian internet menyebabkan lebih 100 pelajar di Kampung Payong, di sini menjadikan sebuah bangsal usang di dalam kebun sawit dan tempat rehat kawasan perkelahan untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Walaupun terpaksa belajar dalam keadaan yang tidak selesa dan berdepan dengan ancaman haiwan berbisa, mereka terpaksa memandangkan liputan internet yang lemah.
Muhammad Fakrul Fattah Abdul Gani, 16, yang juga pelajar Sekolah Menengah Sains Setiu berkata, rangkaian internet yang lemah di rumahnya menyebabkan dia terpaksa ke kawasan itu.
"Walaupun keadaan di sini tidak selesa dan liputan internet juga tidak stabil, kami tiada pilihan kerana tidak mahu ketinggalan kelas," katanya.
Penuntut institusi pengajian tinggi, Nurul Aliana Mat Arif, 21, berkata, disebabkan masalah internet, dia sering ketinggalan apabila terkeluar daripada kelas sewaktu mengikuti kelas dalam talian.
Katanya, ia menyebabkan fokusnya kadang kala terganggu.
Sementara itu, Rosliza Salleh, 43, berkata, dia terpaksa menemani dua anaknya yang berusia 12 dan 13 tahun keluar bagi menyelesaikan kerja sekolah kerana bimbang dengan keselamatan mereka.
"Di rumah, tak ada kemudahan internet, sebab itu anak-anak terpaksa ke sini dan adakalanya sampai waktu malam.
"Kami harap masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Payong, Mohd Abdul Jalal Ibrahim mengharapkan masalah itu dapat diselesaikan segera.
"Masalah ini sudah lama, hampir tiga tahun. Bila PdPR dilaksanakan, ia jadi lebih rumit. Kita harap, ada penyelesaian terbaik untuk pendidikan anak-anak kampung ini," katanya.