KOTA BHARU - Jumlah pesakit Covid-19 berisiko rendah yang dibenarkan kuarantin di rumah di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) di seluruh negeri ini berkurangan daripada lebih 500 individu sebelum ini kepada 140 orang pada Rabu.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, mereka yang menjalani HSO di rumah turut dipakaikan gelang berwarna dan tidak boleh keluar rumah sehingga tamat tempoh kuarantin.
"Secara kumulatif setakat ini, lebih 500 individu menjalani HSO di rumah, manakala 140 pesakit masih aktif.
"Mereka melalui tapisan ketat melihat kepada kesesuaian gejala atau tahap risiko sekiranya dibenarkan untuk kuarantin di rumah,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Beliau ditemui pada program Info On Wheels (IOW) di Jambatan Sultan Yahya Petra di sini, yang dilancarkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada Rabu.
Dr Zaini berkata, pada masa sama, pemantauan oleh pihak Jabatan Kesihatan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijalankan dari semasa ke semasa terhadap HSO yang dilaksanakan di negeri ini bermula pada minggu pertama bulan lalu.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tiga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sedia ada di Kelantan mencukupi bagi menampung jumlah pesakit yang menurun ketika ini.
"Tiga PKRC terbabit iaitu di Dewan Jubli Perak, Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) dan di Gua Musang, tidak perlu ditambah kecuali ada keperluan yang mana beberapa dewan sudah dikenal pasti sesuai.
"Perkara yang penting sekarang bagaimana untuk menurunkan jumlah jangkitan dan bukan membuka lebih PKRC,” katanya.