Muhyiddin lawat Indonesia esok atas undangan Jokowi

Iklan
Muhyiddin Yassin, Jokowi

JAKARTA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia selama dua hari bermula esok, bagi memenuhi undangan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).

Perdana Menteri dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta pada jam 5.00 petang waktu Indonesia barat.

Iklan
Iklan

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Bakar berkata, ia merupakan lawatan pertama Muhyiddin sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac 2020.

"Terdapat beberapa perkara yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara yang memerlukan perbincangan di peringkat tertinggi secara bersemuka dan secara hati ke hati," katanya pada sidang akhbar di Kedutaan Besar Malaysia, di sini pada Rabu.

Iklan

Pada Jumaat, Perdana Menteri akan diberikan sambutan negara di Istana Merdeka di sini, dan kemudiannya kedua-dua pemimpin akan mengadakan perbincangan empat mata sebelum membuat penyataan akhbar bersama.

"Antara isu yang dijangka dibincangkan adalah berhubung dengan isu diskriminasi minyak sawit, masalah jerebu, potensi usahasama pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), dan usaha kerjasama dalam menangani Covid-19," katanya.

Iklan

Zainal Abidin berkata, program lawatan Perdana Menteri itu akan diadakan dalam suasana protokol kesihatan yang ketat termasuk menjalani saringan sebelum berlepas, selepas ketibaan, serta pelaksanaan kuarantin bagi delegasi sebaik pulang ke Malaysia pada petang Jumaat.

"Menyedari kepentingan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia dan cabaran pandemik Covid-19, Perdana Menteri sendiri telah meminta agar lawatan ini diadakan secara singkat dan dalam delegasi yang kecil.

"Pihak Indonesia juga menghormati permintaan ini, pada mulanya sambutan negara dirancang diadakan di Istana Bogor tetapi kemudiannya ditukar ke Istana Merdeka di Jakarta kerana pihak Indonesia memahami situasi dan kepentingan logistik semasa pandemik," katanya.

Indonesia adalah rakan dagang ke-9 terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ke-3 terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN.

"Pada tahun 2020, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan adalah sebanyak RM66.17 billion (ASD15.7billion), manakala jumlah pelaburan Malaysia di Indonesia adalah yang kedua terbesar di Indonesia iaitu sebanyak aSD1,045.3 juta," katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin dunia turut mengadakan lawatan ke Indonesia dan bertemu Jokowi semasa pandemik Covid, antaranya Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga pada Oktober 2020, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo pada (Oktober 2020) dan Menteri Luar China Wang Yi (13 Januari 2021).

Sementara itu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga dijadualkan tiba esok pagi, dan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. - Bernama