'Cikgu Saarani' lancar tuisyen

Iklan
Saarani (tengah) menyerahkan replika cek kepada Mohd Suhaimi sempena pelancaran Program Tuisyen Cikgu Saarani di Pejabat Menteri Besar Perak pada Rabu yang turut dihadiri Ahmad Saidi.

IPOH - Kerajaan Perak melancarkan Program Tuisyen Cikgu Saarani yang bertujuan membantu murid dan pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sasaran utama program tersebut termasuklah kepada 40,642 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya menduduki ujian pada tahun 2020 tetapi ditangguhkan ke tahun ini ekoran pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Katanya, turut mendapat manfaat secara langsung daripada program tuisyen berkenaan ialah 37,894 pelajar yang menduduki peperiksaan utama pada 2021, pelajar Tingkatan Empat (30,320), pelajar Tingkatan Satu (31,761) dan murid Tahun Satu (31,742) menjadikan keseluruhan hampir 200,000 pelajar di negeri mendapat manfaat.

"Melalui program ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan menyediakan guru dan tenaga pengajar yang memberikan tuisyen atau kelas tambahan bagi subjek-subjek kritikal iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Iklan

"Program ini bakal merangkumi inisiatif dan bantuan khusus iaitu tuisyen dan kelas tambahan, bantuan khas makanan, program latih tubi menjelang peperiksaan, seminar menjawab soalan peperiksaan serta penyediaan bahan pengajaran berasaskan video interaktif," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar secara maya pada Rabu.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud; Pengarah Pelajaran Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamad Ali; Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Rahimah Mohamad dan Yang di-Pertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Negeri Perak, Suhaimi Harun.

Iklan

Saarani berkata, sebagai permulaan, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM2.7 juta bagi bantuan khas makanan kepada 35,639 calon SPM yang menghadiri sesi persekolahan dan kelas tambahan di sekolah sebagai persiapan akhir menjelang peperiksaan.

Menurutnya, calon SPM berkenaan akan diberikan makanan tengah hari secara harian selama 15 hari sehingga mereka menduduki peperiksaan yang dijadualkan bermula pada 22 Februari ini.

"Idea memperkenalkan program tuisyen tersebut tercetus selepas mendapatkan maklum balas daripada JPN Perak selain berdasarkan pengalamannya sebelum ini sebagai seorang guru.

"Tiada paksaan kepada pelajar untuk mengikuti program ini. Cuma kita membantu golongan pelajar kurang berkemampuan untuk mengikuti tuisyen dan semua sesi akan diadakan di kelas dan sekolah masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, selain menggunakan dana kerajaan, peruntukan program itu turut meliputi sumbangan kewangan daripada syarikat milik kerajaan negeri (GLC) iaitu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).