Bunuh anak tiri kerana tidak tahu guna tandas

Iklan
Gambar hiasan. - Foto MediaCorp/Jeremy Long

SINGAPURA - Seorang lelaki berusia 28 tahun dihadapkan ke mahkamah pada Selasa kerana didakwa membunuh anak tiri perempuannya berusia empat tahun dengan memukulnya setelah dia membuang air kecil di luar mangkuk tandas.

Laporan Channel New Asia (CNA), Muhammad Salihin Ismail dituduh membunuh mangsa melalui dua insiden pada 1 September 2018, di mana dia berkali-kali memukul pada bahagian perut dan menendang perut budak itu dengan kuat semasa dia terbaring di atas lantai.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, kanak-kanak itu mengalami pendarahan dalam perut yang mengakibatkan kematiannya sehari kemudian.

Semasa kejadian pada 1 September 2018, ibu kepada kanak-kanak tersebut yang dikenali Syabilla, 24, keluar bekerja dan meninggalkan tertuduh bersama mangsa dan anak kembar mereka di sebuah flat.

Iklan

Mengikut pendakwaan, Salihin ternampak air kencing di luar tandas pada jam 10 pagi dan menyedari bahawa mangsa sudah membuang air kecil.

Tertuduh kemudiannya meletakkan mangsa di mangkuk tandas dan dipercayai memukul, menumbuk perut mangsa berkali-kali.

Iklan

Kemudian pada hari yang sama, mangsa sekali lagi menggunakan tandas dan Salihin menyuruh kanak-kanak itu ke tandas sendirian.

Kejadian sama berulang apabila Salihin ternampak air kencing di lantai di hadapan mangkuk tandas. Tertuduh sekali lagi melakukan kekerasan dengan menolak ke lantai, menendang perut mangsa sebanyak dua kali.

Pada malam kejadian, mangsa mengadu kepada ibunya bahawa dia mengalami sakit perut selepas makan nasi dan muntah.

Antara jam 1 pagi hingga 8 pagi pada 2 September 2018, Salihin membawa mangsa ke tandas setelah dia berkali-kali muntah hingga pengsan.

Sebaik menghubungi paramedik yang tiba pada jam 9.17 pagi, pegawai perubatan mendapati mangsa tiada denyutan nadi dan hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 10.12 pagi pada hari tersebut.

Pada 3 September 2018, tertuduh mengaku kepada polis bahawa dia sengaja mensasarkan perut mangsa kerana niat 'mengajar' dan melatih mangsa menggunakan tandas sebagai persediaan ke sekolah pada lewat September 2018.

Hasil bedah siasat mendapati bahawa mangsa meninggal dunia akibat pendarahan dalam rongga peritoneum dipercayai menggunakan bahan tumpul pada bahagian perutnya.

Pakar psikiatri juga telah melakukan pemeriksaan terhadap tertuduh dan mendapati tiada sebarang penyakit mental, namun peguam bela mendapati dia mengalami Kecelaruan Eksplosif Selangan (IED) ketika itu.

Perbicaraan diteruskan pada Rabu dengan Syabilla dijangka memberikan keterangannya.

Syabilla ditahan dalam penjara atas sebab yang tidak didedahkan secara terbuka.

Jika didapati bersalah kerana membunuh, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman mati, penjara seumur hidup dengan sebatan terhadap tertuduh.