PKRC pertama di Johor mampu menempatkan 1,200 pesakit

Iklan
PKRC pertama di Johor iaitu di Stadium MBPG, Pasir Gudang akan beroperasi pada 10 Februari ini bagi merawat dan menempatkan pesakit Covid-19 kategori satu dan dua dari seluruh negeri.

PASIR GUDANG - Sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini diwujudkan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MPPG) di sini yang bakal beroperasi 10 Februari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, PKRC tersebut mampu menempatkan 1,200 pesakit dari seluruh negeri melibatkan semua peringkat usia bermula lima tahun ke atas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penilaian untuk kemasukan ke PKRC tersebut akan dibuat menerusi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang terdapat di setiap daerah.

"PKRC ini akan menempatkan pesakit Covid-19 kategori satu dan dua iaitu mereka yang tidak bergejala dan tidak berisiko tinggi. PKRC juga untuk pesakit yang tidak sesuai menjalani kuarantin di rumah.

Iklan

"Contohnya kalau kuarantin di rumah, tiada bilik air khusus untuk pesakit dan ahli keluarga yang ramai dan berisiko tinggi antaranya kanak-kanak dan warga emas,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor Bahru, Abdul Rahman Salleh, Datuk Bandar Pasir Gudang, Asman Shah Abdul Rahman dan Pengarah Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Hussein Omar Khan.

Iklan

Dr Aman berkata, seramai 60 hingga 1,00 petugas akan ditempatkan di PKRC berkenaan dalam satu-satu masa yang akan mengikut model PKRC di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor.

Jelasnya, hanya pesakit warganegara akan ditempatkan di PKRC tersebut, manakala pesakit bukan warganegara akan dihantar ke PKRC di MAEPS Serdang.

Sementara itu, Hussein berkata, sekiranya PKRC berkenaan penuh pada masa akan datang, Nadma, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri akan melihat fasiliti lain termasuk hotel.

"Kita juga pertimbang untuk buka PKRC swasta iaitu hotel yang boleh digunakan majikan atas kos mereka untuk tempatkan pekerja mereka yang positif,” katanya.

Pada masa akan datang kata beliau, pihaknya merancang menubuhkan sebuah PKRC khusus untuk pekerja warganegara asing di negeri ini namun kawasannya masih belum ditentukan.