'Kami nak tengok mami, papa kali terakhir'

Iklan
Gambar terakhir tiga beradik bersama ibu bapa mereka pada Selasa. Foto: Ihsan keluarga mangsa

KUALA KRAI -"Kami nak tengok mami dan papa untuk kali terakhir," itulah permintaan tiga beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Sam-Dabong dekat Ladang Kuala Gris di sini pada Rabu.

Ketiga-tiga beradik itu Nurul Syafiqah Mohd Hafeez,10, Nurul Syaqirah, 9, dan Muhammad Hafizi Iqram, 5, dilihat menangis teresak-esak untuk menatap wajah orang tua mereka iaitu Mohd Hafeez Ibrahim@Yusoff, 32, dan ibu Surina Mohd Othman, 36, ketika jenazah tiba di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra.

Iklan
Iklan

Bapa saudara, Zakaria Ibrahim@Yusoff, 36, berkata, bagaimanapun permintaan tiga beradik itu tidak dapat ditunaikan kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Tiga beradik itu hanya mampu melihat jenazah ibu bapa mereka diusung masuk ke unit forensik," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail Petra di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, ketiga-tiga beradik itu kemudian terpaksa dibawa pulang ke rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun berada di hospital.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Mohd Hafeez Ibrahim@Yusoff, 32, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Dabong sementara isterinya, Surina Mohd Othman, 36, maut di lokasi akibat kecederaan parah.

Rahimah (kanan, berdiri) bersama suami dan anak-anak ketika majlis menyambut menantu anak keduanya pada Selasa. Foto: Ihsan keluarga mangsa

Iklan

Selain pasangan suami isteri itu kemalangan tersebut turut meragut nyawa Rahimah Ibrahim@Yusoff, 51, yang merupakan kakak kepada Mohd Hafez.

Sementara itu, Mohd Saiful Bahari Ibarhim, 50, suami kepada Rahimah berkata, dia sama sekali tidak menyangka majlis sambut menantu anak kedua mereka pada Selasa menjadi kenangan terakhir dia dan lima anak bersama Allahyarham.

Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah Mohd Hafeez yang merupakan adik iparnya selepas majlis sambut menantu.

"Hari ini (Rabu) kami bergotong-royong untuk mencuci pinggang mangkuk selepas semuanya (majlis) selesai.

"Bagaimanapun, saya dikejutkan dengan panggilan telefon pada jam 9.16 pagi tadi yang memaklumkan ketiga-tiga mereka meninggal dunia dalam kemalangan," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian ketiga-tiga mereka itu dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Dabong untuk pemeriksaan kesihatan.

Nurul Syafiqah (kanan) tidak berganjak di hadapan pintu masuk Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai menunggu jenazah ibu bapanya sebelum diarahkan pulang ke rumah. Foto: Ihsan keluarga mangsa

Katanya, Allahyarham isterinya ke klinik untuk rawatan susulan selepas diserang penyakit angin ahmar baru-baru ini.

"Sementara biras saya (Surina) untuk menjalani pemeriksaan kandungannya yang berusia 12 minggu.

"Disebabkan itu, Mohd Hafeez menawarkan diri membawa isteri dan kakaknya ke klinik, jika sebelum ini saya sendiri yang akan bawa arwah isteri," katanya.

Katanya, ketiga-tiga jenazah itu akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lakloh di sini selepas siap bedah siasat dilakukan.