RASANYA masih belum terlambat Merak Jalanan ucap tahniah kepada tiga figura ini – Datuk Nicol Ann David, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit. Nama mereka tiba-tiba menggegar sejak beberapa hari lalu.
Mana tidaknya, Nicol – bekas ratu skuasy negara menang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia. Bukan calang-calang atlet yang boleh menyambar anugerah berprestij itu.
Merak Jalanan mahu tabik hormat kepada Nicol. Atas kejayaannya itu, Nicol kini bukan saja berada dalam kelas tersendiri, malah secara tidak langsung sekali lagi mengharumkan nama Malaysia.
Sepanjang kariernya selama lebih 20 tahun, pelbagai pencapaian dan kejayaan gemilang dicapai Nicol. Lapan gelaran dunia yang berada dalam genggaman sudah membuktikan kehebatan Nicol di gelanggang skuasy.
Gelaran pemain nombor satu dunia yang pernah disandang Nicol selama sembilan tahun juga tiada tolok bandingnya. Mungkin hanya keajaiban yang mampu memadam rekod ampuh itu.
Bila nama Nicol secara rasmi diumum pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia pada malam Isnin lalu, Merak Jalanan tidak terkejut. Nicol sememangnya layak meraih anugerah itu.
Sebelum itu, Rashid dan Soon Kit menggembirakan dunia sukan Malaysia. Dua legenda badminton itu dianugerah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan.
Merak Jalanan tak pernah lupa, mereka antara wira Malaysia yang menjulang Piala Thomas pada 1992. Mereka juga menyumbang pingat pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta. Ketika itu Rashid memenangi pingat gangsa manakala Soon Kit dan pasangannya, Yap Kim Hock meraih perak.
Sama seperti kejayaan yang diraih Nicol, Merah Jalanan tumpang gembira dengan pengiktirafan yang diterima Rashid dan Soon Kit. Apa yang diabadikan sepanjang karier mereka akan terus tersemat indah dalam lipatan sejarah sukan tanah air.