Hidup bertuankan tauke Bangla, Rohingya

Iklan
Peraih-peraih yang terdiri daripada warga asing itu begitu berani mengambil kesempatan. Gambar hiasan.

SUATU ketika dahulu seorang sahabat mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian sebagai persediaan pada masa depan.

Pada ketika itu, dia masih lagi bekerja dengan sebuah syarikat terkemuka di ibu kota dengan pendapatan tetap dan tinggi. Dia memilih untuk menjadi seorang petani cili di atas sebidang tanah milik keluarga yang terletak jauh dari Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Bukan mudah untuk bergelumang dalam bidang yang sangat asing bagi dirinya yang sebelum ini duduk di dalam bangunan yang sejuk dan nyaman serta duduk atas kerusi yang empuk itu.

Penghitungan yang dia buat begitu mudah. Cili merupakan bahan penting dalam masakan di Malaysia. Semua orang makan cili setiap hari dan sudah pasti ia mendapat permintaan tinggi.

Iklan

Bagaimanapun, selepas lima tahun berlalu dengan menempuh pelbagai onak dah duri, ada masanya dia mendapat pendapatan yang lumayan dan ada masanya juga rezeki tidak menyebelahinya.

Menurut cerita sahabat saya ini, penanam-penanam cili sepertinya berdepan dengan masalah harga yang tidak stabil menyebabkan mereka terpaksa mencari pasaran lain. Satu daripadanya adalah dengan menjual hasil kepada peraih di pasar-pasar borong.

Iklan

Malangnya, dia mendakwa, peraih sering melakukan penindasan dengan meletakkan harga yang rendah. Lebih mengejutkan, peraih-peraih yang terdiri daripada warga asing itu begitu berani mengambil kesempatan.

"Kami benar-benar tertekan kerana mereka ini mengawal harga, seolah-olah kita sekarang terpaksa bertuankan peraih Bangla (Bangladesh) dan Rohingya," katanya baru-baru ini.

Pasaran

Menurut dia lagi, pada mulanya peraih akan mengambil pada harga yang tinggi iaitu sekitar RM6 sekilogram (kg) tetapi selepas beberapa hari, mereka sepakat untuk meletakkan harga RM4 satu kg.

Jelasnya, keadaan itu berlaku disebabkan kemasukan cili-cili import dari Vietnam, Thailand dan China. Ia menyebabkan harga pasaran cili menjadi rendah dan menyebabkan petani terpaksa mencari sendiri pasaran walaupun ada antara mereka menggunakan khidmat Persatuan Peladang.

Cerita sahabat saya lagi, keadaan tidak akan berlaku seperti itu sekiranya semua penanam cili di seluruh Malaysia bersatu hati.

"Sekarang peraih-peraih warga asing ini berbangga dengan cili import dan tidak pandang langsung dengan cili keluaran tempatan.

"Jika petani semua bersatu hati dan melakukan perkara yang sama, mereka akan terjejas tetapi masalahnya kita juga perlu bagi anak bini kita makan," katanya.

Justeru, dia mencadangkan agar kerajaan memberikan perhatian terhadap petani-petani muda sepertinya. Sepatutnya kerajaan mempunyai data yang lengkap dan komprehensif berhubung pengeluaran cili kerana dia mendakwa sejak beberapa tahun lalu, data yang sama telah digunakan menyebabkan keputusan yang dibuat berhubung tanaman tersebut tidak tepat.

Dengan data yang tepat, terdapat kemungkinan negara tidak perlu lagi bergantung dengan import cili dari luar negara.

Apa yang sepatutnya dilakukan adalah cili-cili yang diimport boleh dibekalkan kepada keperluan industri seperti pembuatan sos cili, sementara cili-cili segar keluaran petani tempatan digunakan untuk pasaran tempatan.

Sudah pasti ia dapat memberikan kegembiraan kepada semua pihak kerana industri mendapat bekalan cili yang murah, manakala petani tempatan dapat menjual hasil mereka kepada rakyat.

Sehubungan itu, dia amat berharap agar suara petani kecil sepertinya itu mendapat pembelaan daripada kerajaan.