RAMALLAH - Tentera Israel pada Rabu merobohkan khemah-khemah milik kira-kira 60 penduduk Badwi Palestin di Lembah Jordan yang diduduki oleh rejim Zionis, kata wartawan AFP dan aktivis.
Jentolak-jentolak dari negara Yahudi itu merobohkan khemah dan tandas mudah alih yang dimiliki oleh keluarga Badwi tersebut di Homsa al-Bagia iaitu sebuah kampung dekat Tubas di Tebing Barat, Palestin.
Pada November tahun lalu, pihak tentera Israel juga bertindak merobohkan rumah-rumah di kawasan berkenaan.
Menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia Israel, B'Tselem, kesemua keluarga itu termasuk kanak-kanak kini tidak lagi mempunyai rumah ekoran perobohan itu.
Misi Kesatuan Eropah (EU) di wilayah Palestin mengumumkan ia akan melawat lokasi tersebut pada Khamis.
Satu cawangan tentera Israel yang bertanggungjawab dalam isu-isu hal ehwal awam di Tebing Barat iaitu COGAT berkata dalam satu kenyataan bahawa struktur yang dibina penduduk Badwi itu dibina secara haram di zon latihan tentera.
Justeru, kata COGAT, penduduk-penduduk Badwi itu kemudian bersetuju untuk merobohkan sturktur rumah masing-masing.
Bagaimanapun, ia berkata, keluarga-keluarga tersebut kemudian mengubah rancangan asal mereka menyebabkan khemah-khemah tersebut diroboh.
Seorang aktivis Palestin yang menentang pendudukan rejim Zionis di Tebang Barat iaitu Moataz Bisharat berkata, tindakan seperti itu adalah umpama menjatuhkan hukuman mati ke atas semua komuniti Palestin di Lembah Jordan.
Lembah Jordan itu termasuk dalam kawasan Area C di Tebing Barat yang dikawal sepenuhnya oleh tentera Israel.
Berdasarkan undang-undang Israel, penduduk Palestin tidak boleh membina struktur di kawasan itu tanpa mendapatkan permit yang sah.
Pada kebiasaannya, permit itu jarang diberikan kepada penduduk Palestin dan insiden perobohan rumah kerap kali berlaku.
Moataz berkata, bilangan keluarga Palestin di kawasan Homsa al-Baqia berkurangan kepada 21 keluarga ketika ini berbanding lebih 186 keluarga pada tahun 1990 kerana tindakan-tindakan rejim Zionis.
"Sasaran (Israel) adalah bukan hanya untuk menduduki Homsa tetapi juga (untuk menduduki) keseluruhan Lembah Jordan," katanya.
Israel telah menduduki Tebing Barat sejak Perang Enam Hari yang berlaku pada tahun 1967. - AFP