SHAH ALAM - Universiti Putra Malaysia (UPM) menyifatkan kelakuan seorang kakitangan wanita dari institusi itu yang tular selepas bertengkar di jalan raya berhampiran Hospital Serdang pada Rabu tidak mencerminkan sahsiah dan etika universiti tersebut.
Dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya, pihak UPM memandang serius perkara itu dan menyatakan perkara berkenaan berlaku adalah reaksi spontan peribadi kakitangan tersebut.
"Tatakelakuan beliau sama sekali tidak mencerminkan sahsiah serta etika yang sepatutnya diterapkan warga UPM.
"Sehubungan itu, perkara ini sedang dalam siasatan pihak UPM untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, difahamkan kakitangan tersebut telah memohon maaf menerusi akaun Instagram pada Rabu namun meletakkan akaunnya pada status ‘private’.
Beliau memuat naik posting di entrinya dengan perkataan 'Maaf' disusuli kenyataan,"jika saya salah, maafkan saya. Jika saya betul, saya maafkan semua,” hingga tular dan menarik perhatian warga maya.
Sebelum ini, tular di laman sosial rakaman video dipercayai wanita bertugas di institusi berkenaan didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pemandu lain dalam satu pertengkaran pada Selasa.
Video berdurasi 2 minit 20 saat dimuat naik di Twitter @Fadzmin memaparkan kereta yang dipandu pemuda itu hampir bertembung dengan kereta dipandu wanita tersebut selepas membuat pusingan U secara melulu.
Sehingga kini video tersebut ditonton lebih 1.7 juta tontonan sejak dimuat naik dua hari lalu.