MELAKA - Polis merampas pelbagai jenis mercun dalam sebuah lori yang digunakan konon untuk menghantar bantuan banjir dalam serbuan Op Limau di Melaka Tengah dan Alor Gajah pada Selasa lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, mereka menggunakan sebuah lori yang diletakkan pelekat misi bantuan mangsa banjir untuk membawa masuk barang rampasan itu ke Melaka dan sebuah gudang di Alor Gajah dijadikan lokasi untuk menyimpan stok mercun yang akan dijual sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, dua suspek yang menaiki lori terbabit masing-masing berusia 35 dan 39 tahun ditahan selain lori membawa mercun bernilai RM360,000 itu dirampas.
"Mereka juga didapati menggunakan surat kebenaran perjalanan palsu bagi melepasi Sekatan Jalan Raya (SJR).
"Dalam operasi ini juga seramai lapan suspek ditahan berusia dari 25 hingga 39 tahun termasuk seorang wanita warga Thailand dan dua daripada mereka yang ditahan mempunyai rekod lampau," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka, di Bukit Beruang di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam serbuan pertama di Batu Berendam dan Ayer Keroh seramai lima suspek ditahan dan berjaya merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM150,000.
Menurutnya, susulan itu pihaknya berjaya menahan tiga lagi suspek di sebuah premis di Jalan Tampin Alor Gajah termasuk seorang wanita berusia 29 tahun.
"Kumpulan pengedaran ini mempromosikan penjualan mercun melalui aplikasi 'WhatsApp' dengan menyenaraikan senarai jenis mercun melalui katalog selain menggunakan guni beras untuk menyimpan mercun jenis bola bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.
Kesemua suspek direman selama empat hari hingga 6 Februari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, jika disabit kesalahan membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.