JOHOR BAHRU - Seorang bekas pemandu bas kilang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya, lima tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Pesuruhjaya Kehakiman Dr Shahnaz Sulaiman terhadap M Siva Sangker, 37, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Shahnaz dalam penghakimannya berkata, hujah pihak pembelaan yang mengatakan tertuduh tidak berada di tempat kejadian adalah bersifat penafian semata-mata.
"M Siva menafikan berada di tempat kejadian pembunuhan dan mengatakan berada di Masai. Beliau juga menafikan mempunyai motif untuk bunuh si mati kerana beliau dan si mati adalah kawan baik.
"Tiada saksi yang melihat M Siva berada di Masai seperti dakwaannya. Pembelaan ini juga tidak ditimbulkan semasa kes pendakwaan. Oleh itu, pembelaan hanyalah penafian semata-mata dan bersifat 'afterthought'.
"Keterangan isteri dan pak cik tertuduh juga tidak menyokong keterangan yang dikemukakan. Kedua-dua saksi ini tidak dapat mengesahkan keberadaan tertuduh semasa kejadian pembunuhan berlaku," katanya.
Sejurus keputusan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil, tertuduh kelihatan tenang.
Terdahulu, M Siva Sangker didakwa membunuh V Durga Devi, 23, di Jalan Kancil 1, Taman Scientex, Pasir Gudang, di sini pada jam 12.15 tengah hari, 21 November 2016.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Suriani Ujang.
Tertuduh diwakili peguam bela GK Sritharan.
Seramai 23 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dikemukakan sepanjang perbicaraan berlangsung bermula Disember 2016.