Ekuinas teroka industri farmaseutikal

Iklan
SYED YASIR ARAFAT

SHAH ALAM - Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) meneroka industri farmaseutikal menerusi pelaburan sulungnya dengan pemerolehan kepentingan dalam Medispec (M) Sdn Bhd (Medispec) melibatkan nilai perusahaan berjumlah RM88.5 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, kemasukan Ekuinas ke dalam ruang penjagaan kesihatan dan farmaseutikal adalah tepat untuk memanfaatkan megatrend global serta anjakan demografik di tengah-tengah kemunculan Covid-19.

Iklan
Iklan

"Medispec ialah antara peneraju, pengedar dan pemasar produk-produk penjagaan kesihatan dan farmaseutikal di Malaysia dengan rekod prestasi lebih dari 35 tahun.

"Mereka telah menubuhkan satu rangkaian pembekalan dan pengedaran yang kukuh di pasaran tempatan dipacu dengan pemahaman industri yang mendalam selain hubungan erat dengan pihak berkepentingan. Kami gembira dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka ke peringkat seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Syed Yasir berkata,pelaburan dalam Medispec merupakan penyertaan sulung Ekuinas dalam industri farmaseutikal.

"Sehingga kini, Ekuinas telah melaksanakan pelaburan kumulatif dalam 42 syarikat sejak penubuhannya pada 2009 dengan jumlah pelaburan komited sebanyak RM4.4 bilion.

Iklan

"Ekuinas juga telah menjana impak positif terhadap ekonomi Malaysia secara meluas yang menjadikan jumlah kemasukan modal bersama rakan sektor swasta sebanyak RM5 bilion,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Medispec,Teng Beng Lee berkata, sempena ulang tahun Medispec ke-35 pada tahun ini, syarikat itu berbangga menjadi sebahagian daripada portfolio Ekuinas dan berkeyakinan mampu bekerjasama untuk meneroka ke peringkat pertumbuhan seterusnya.

"Selain mengembangkan jenama makanan tambahan, Vitamode, syarikat juga bersedia untuk menembusi pasaran serantau di negara-negara ASEAN dengan memanfaatkan kepakaran Ekuinas.

"Mengambil iktibar daripada pandemik ini, kami juga akan menumpukan lebih usaha terhadap pemasaran dalam talian untuk mencapai pelanggan-pelanggan kami,” katanya.

Medispec memasarkan lebih daripada 100 ubat farmaseutikal dan 30 makanan tambahan kesihatan untuk kedua-dua kategori preskripsi dan di kaunter (OTC).

Ini termasuk aplikasi perubatan merangkumi pelbagai bidang terapi seperti anti-jangkitan, antineoplastik, sistem muskuloskeletal, sistem kardiovaskular dan sistem saraf.

Syarikat juga memiliki Vitamode, jenama makanan tambahan kesihatan sendiri yang memenangi anugerah, menampilkan produk-produk khas seperti CoQ10 Ubiquinol, Mecobin, Lacidofil, Cognipro dan Tumecap.