KUCHING - Seramai 120 anggota bersama enam pegawai Askar Wataniah digerakkan ke Sibu, Sarawak bagi membantu penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dilaksanakan di bandar itu sehingga 14 Februari ini.
Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad berkata kesemua anggota daripada Rejimen 511 Askar Wataniah itu akan ditempatkan di sana selama 14 hari.
Iklan
Iklan
Beliau berkata keberadaan mereka di sana adalah untuk memberi bantuan kepada Briged Kesembilan Infantri Malaysia dalam Ops Penawar bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung wabak Covid-19.
"Setakat ini mereka akan berada di sana selama dua minggu atau mungkin lebih lama bergantung kepada situasi kes positif Covid-19 di Sibu.
"Mereka ini juga akan ditugaskan di lapan sekatan jalan raya (SJR) yang telah dikenal pasti bagi membantu pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan rejimen itu di sini pada Khamis.
Azhar berkata Rejimen 511 itu akan memberi sokongan Briged Kesembilan yang kini kekurangan anggota kerana ditugaskan dalam Ops Benteng dan kawalan sempadan.
"Saya berharap semua yang terlibat dalam misi kali ini dapat memikul amanat yang diberi dengan penuh komitmen dan rasa tanggungjawab,” katanya. - Bernama