KUALA LUMPUR - Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta 12 individu pada Khamis gagal memperoleh kebenaran mahkamah bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak permohonan mereka untuk mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai sebuah parti politik.
Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan pengasas MUDA itu serta 12 individu.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berkata mahkamah mendapati pemohon gagal mematuhi peruntukan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 susulan permohonan mereka untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah parti politik ditolak RoS.
"Mahkamah menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman pemohon dengan kos RM2,000," katanya ketika dihubungi pemberita selepas keputusan permohonan itu di hadapan Mariana menerusi aplikasi Zoom pada Khamis.
Pada 25 Januari lepas, AGC membantah permohonan itu atas alasan pemohon tidak merayu kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin terlebih dahulu sebelum memfailkan semakan kehakiman sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan dan MUDA mempunyai tempoh 30 hari bermula 6 Jan untuk mengemukakan rayuannya.
Pada 12 Januari lepas, mereka telah memfailkan permohonan semakan itu dengan menamakan RoS dan Menteri Dalam Negeri, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta memohon perintah untuk membatalkan keputusan RoS yang menolak pendaftaran MUDA sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik menurut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.
Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada Bersatu dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama semakan kehakiman, berkata pihaknya menerima surat daripada RoS pada 6 Jan lepas yang menyatakan permohonan MUDA tidak mematuhi Jadual Pertama Akta Pertubuhan 1966 dan permohonan ditolak mengikut Seksyen 7 (3) (e) Akta Pertubuhan 1966.
"Terdapat kelalaian daripada pihak RoS untuk menjelaskan secara terperinci perenggan kecil atau peruntukan mana di bawah Jadual Pertama yang tidak dipatuhi oleh MUDA. Penaja-penaja MUDA tidak dapat mengetahui akan ketidakpatuhan yang dikatakan itu dan tidak dapat membetulkannya.
"MUDA telah mematuhi sepenuhnya semua peruntukan Jadual Pertama Akta Pertubuhan 1966. Oleh itu, tidak ada asas untuk menolak permohonan pendaftaran MUDA,” katanya. - Bernama