ALOR GAJAH - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) maut apabila motosikal Honda EX5 ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan yang keluar secara melulu di Simpang Tiga Taman Kejora Tebong, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian jam 9 pagi, mangsa G Tamilarasan, 17, yang juga pengembala lembu dalam perjalanan dari arah Tebong menghala ke Tampin, Negeri Sembilan manakala pemandu kereta Perodua Kembara, Lee Kuen Tong dari arah Taman Kejora.
"Setiba di lokasi kejadian kereta terbabit dari arah Taman Kejora secara tiba-tiba keluar membelok ke kanan menghala ke arah Tebong.
"Mangsa gagal mengelak dan melanggar kereta yang dipandu lelaki berusia 46 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Dalam kemalangan berasingan, seorang pemandu lori maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas sendiri lalu memasuki ke arah bertentangan sebelum melanggar besi penghadang jalan di lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Paya Datuk, di sini awal pagi Khamis.
Dalam kejadian jam 5.10 pagi, mangsa Mohd Hizat Md Radzi, 45, yang memandu lori jenis Isuzu dipercayai hilang kawalan sebelum terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya.
Jelasnya, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.