Rumah jadi transit seludup ganja

Iklan
Sebanyak 770kg daun ketum dirampas dalam serbuan di Padang Besar pada Isnin.

KANGAR - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Perlis selepas berjaya menahan lapan individu dan merampas 250.25 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan 770kg daun ketum dianggarkan bernilai RM640,000 dalam tiga serbuan berasingan di Padang Besar pada Isnin.

Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata, serbuan yang dilakukan antara jam 6.30 pagi hingga 9.45 pagi itu turut melibatkan sebuah rumah dipercayai menjadi sumber bekalan dadah utama yang menyeludup masuk ganja dari negara jiran sebelum ia diedarkan ke Lembah Klang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, serbuan itu dilakukan susulan daripada tangkapan dalang utama sindiket tersebut di Selangor serta serbuan lain di Lembah Klang dan Negeri Sembilan pada hari sama.

"Dalam serbuan di Padang Besar, polis menemui dadah jenis ganja dan daun ketum disembunyikan di dalam rumah dan kenderaan suspek.

Iklan

"Polis turut menyita dua kereta dan dua motosikal pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM185,000,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada Khamis.

Hadir sama Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.

Iklan

Zainudin berkata, polis menahan lapan individu berusia 12 hingga 51 tahun termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang ketika itu berada bersama beberapa ahli keluarga yang terlibat dengan sindiket itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Beliau berkata, dua suspek utama berumur 41 dan 51 tahun direman selama tujuh hari bermula 1 Februari untuk siasatan lanjut manakala bakinya termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa.

"Polis akan melakukan siasatan bagi mengesan saki-baki sindiket yang mula aktif sejak enam bulan lepas dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi balai polis terdekat bagi membantu pihak polis memerangi pengedaran dadah dan penyeludupan daun ketum di negeri ini,” katanya. - Bernama