Kerajaan dengar pandangan orang ramai tak tutup ekonomi

Iklan
Muhyiddin - Foto Fail Bernama

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pihak industri dan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan telah mendengar pandangan daripada orang ramai dengan tidak menutup ekonomi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan
Iklan

"Jadi tolong balas langkah ini dengan patuh betul-betul pada SOP supaya kita dapat pastikan kegiatan perniagaan dan perdagangan terus bergerak, pada masa yang sama membantu memutuskan penularan Covid-19 di tempat kerja dan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas mengenai pelaksanaan darurat dan pemasyhuran Ordinan Darurat dalam mengurus pandemik Covid-19 yang disiarkan di saluran televisyen dan media sosial rasmi kerajaan pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sekiranya ada dalam kalangan pekerja yang didapati positif Covid-19, mereka perlu diasingkan segera dan dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapat rawatan atau menjalani kuarantin di tempat tinggal.

"Pengesanan kontak rapat dalam kalangan pekerja juga mesti dilakukan segera. Mereka ini perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan dikuarantin di rumah atau di tempat penginapan pekerja,” katanya. Tegas Muhyiddin, majikan seharusnya tidak memaksa pekerja yang sedang menjalani kuarantin untuk datang bekerja kerana ia akan membahayakan semua orang.

Iklan

"Jangkitan kepada orang lain boleh berlaku sekiranya mereka juga didapati positif Covid-19,” katanya.

Menurutnya, beliau memberi penekanan aspek pematuhan SOP di kilang, tapak pembinaan, penginapan pekerja dan tempat kerja kerana gelombang ketiga Covid-19 banyak berlaku di tempat berkenaan."Data terkini menunjukkan 59 peratus jangkitan Covid-19 berlaku di tempat kerja, 19 peratus di pusat tahanan, 14 peratus di kediaman, lima peratus di rumah ibadat atau aktiviti keagamaan dan masing-masing dua peratus kes import dan kumpulan berisiko,” katanya.

Muhyiddin berkata, satu Pasukan Petugas Khas Pemantauan dan Penguatkuasaan PKP yang dianggotai oleh pelbagai agensi dan kementerian telah ditubuhkan untuk memantau pematuhan SOP.

"Bagi pemantauan di premis-premis kilang dan bukan kilang di negara ini, sehingga 3 Februari 2021, Pasukan Petugas Khas dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah membuat lawatan tinjauan di 2,276 premis di seluruh negara.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 197 premis telah diberikan teguran dan 34 diarah tutup kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah mengenakan kompaun ke atas 82,141 individu dan membuat 31,740 tangkapan ke atas pelbagai kesalahan,” katanya.