SHAH ALAM - Pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) akan dilaksanakan bagi menangani isu pengurusan tempat tinggal pekerja menerusi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan dalam proses melakukan pindaan tersebut dan antaranya mewajibkan majikan menyediakan tempat tinggal yang memenuhi standard ditetapkan serta menanggung kos penginapan, perpindahan dan kos saringan kesihatan pekerja.