SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan telah memanggil Ibu Yati bagi membantu siasatan berhubung fahaman Islam Melayu yang dikaitkan dengan wanita tersebut.
Sumber JAIS memaklumkan Ibu Yati atau nama sebenarnya Wan Norhayati Wan Alias dipanggil Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS pada Rabu.
"Bukan soal siasat atau didakwa sebaliknya hanya untuk beri keterangan saja.
"Kes ini masih dalam siasatan,” katanya.
Fahaman itu menjadi perbualan warga maya baru-baru ini selepas tersebar rakaman video yang memaparkan seorang wanita dipercayai Ibu Yati melafazkan iLa Ha iLa Ra iLa Ma dan aku Melayu sebanyak tujuh kali sebelum kemudiannya membuat paluan gong dalam sebuah upacara.
Ia didakwa ajaran sesat terbaharu di negara ini.
Wan Noor Hayati bagaimanapun menafikan perkara itu dan menyifatkan ia tuduhan jahat dan membuat laporan polis.
Setakat ini, lebih 10 laporan polis dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap wanita itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, polis turut membuka kertas siasatan terhadap Ibu Yati yang dikaitkan dengan fahaman Islam Melayu.
Terdahulu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu dibawa oleh individu yang dikenali sebagai ‘Ibu Yati’.
Beliau berkata, kelahiran agama baharu yang dikenali sebagai Agama Melayu itu menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam Arab dan mengakui membawa ajaran Islam Melayu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ajaran tersebut jelas sesat dan pihak berkuasa agama sedang menyiasat perkara berkenaan bagi mengambil tindakan lanjut.