Korban kerjaya demi jaga ibu sakit

Iklan
Aimi Nazerah tidak dapat menahan sebak kerana rindukan orang tuanya.

KOTA BHARU - Seorang pembantu penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memilih untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung bagi menjaga ibunya yang terlantar sakit selain empat adiknya yang masih bersekolah.

Aimi Nazerah Shamsuddin, 27, anak kedua dari lapan beradik berkata, segalanya bermula tiga tahun lalu apabila dia nekad balik ke kampungnya di Bachok bagi menjaga ibunya Bibi Sarina Abd Ghani, 49, yang sakit.

Iklan
Iklan

"Saya tinggalkan kerja saya di sana sebab saya nak balik jaga syurga saya. Saya sesekali tidak pernah menyesal dengan apa yang saya buat.

"Ibu dan adik-beradik saya lagi penting dan segala-galanya buat saya," katanya kepada pemberita pada Khamis ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mahligai Melor di sini.

Iklan

Dua adiknya iaitu, Najwa (tengah) dan Nasreen (kiri) membantu menyusun kuih cara yang dibuat Aimi Nazerah (kanan) di rumahnya di Melor.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Elektronik UTM itu berkata, setelah sekian lama menanggung derita sakit jantung, darah tinggi dan buah pinggang, ibunya meninggal dunia pada 2018.

Iklan

Katanya, setahun selepas itu keluarganya diuji lagi apabila bapanya pula, Shamsuddin Samat, 53, meninggal dunia akibat strok.

Dalam pada itu, Aimi Nazerah berkata, selepas ibunya meninggal dunia dia bersama empat adiknya, Mukhriz,16, Nasreen,14, Muzamil,13 dan Najwa,11, tinggal bersama neneknya di Bachok sebelum berpindah semula di rumah asalnya di Melor setelah kediaman usang siap dibaiki oleh Misi Kembara Dakwah dengan perbelanjaan RM50,000.

Menurutnya, abang sulung dan dua lagi adik beradiknya berada di luar Kelantan kerana bekerja dan seorang daripadanya bekerja sambil belajar.

Aimi Nazerah berkata, kini pendapatannya bergantung kepada hasil menjual kuih dan kek.

Che Norhayati (dua dari kiri) dan Dr Martina (tiga dari kiri) melihat ketuhar baharu yang diterima oleh Aimi Nazerah (kiri) untuk membantunya berniaga secara kecil-kecilan.

"Saya belajar membuat kuih di internet. Alhamdulillah bermula dengan ketuhar arwah ibu, saya belajar buat kuih," katanya.

Katanya, kini dia mahir membuat kek lobak merah, hokaido, kek lapis pandan, brownies yang mendapat sambutan baik dengan meraih pendapatan RM200 seminggu.

"Alhamdulillah dengan bantuan adik-beradik dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 sebulan cukup untuk kami meneruskan hidup," katanya.

Terdahulu, Aimi Nazerah menerima kunjungan wakil Chempaka Merah Asnaf, Che Norhayati Mohamed yang menyampaikan ketuhar bersama Pengurus NGO Misi Kembara Dakwah, Dr Wan Martina Wan Yusoff.