PADA Isnin, sebuah cabang firma penyelidikan Fitch Group iaitu Fitch Solution menjangkakan prospek ekonomi Malaysia akan bertambah buruk.
Firma tersebut meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini akan menurun daripada 11.5 peratus kepada 10 peratus.
Biarpun sekadar ramalan, namun tanda-tandanya sudah jelas kelihatan. Salah satunya ialah apabila Persidangan Perdangangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) melaporkan Pelaburan Asing Langsung (FDI) negara merosot 68 peratus kepada RM10.1 bilion pada tahun lalu berbanding RM31.7 bilion pada 2019.
Ia dipercayai berlaku kerana pelabur asing sudah mula hilang keyakinan terhadap Malaysia kerana kerajaan yang tidak stabil.
Situasi bertambah buruk apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara merosot daripada kedudukan 51 dengan 53 skor pada 2019, jatuh ke tangga 57 dengan 52 skor pada 2020!
Dalam masa sama, Malaysia juga dihimpit pelbagai masalah sosial yang tidak berkesudahan seperti lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI), rasuah, sindiket penipuan (scam), pengangguran, jenayah tidak terkawal dan bermacam-macam lagi.
Masalah bertambah kompleks apabila ahli politik terus bercakaran sesama sendiri merebut kuasa, terutamanya selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia.
Sudahnya, rakyat yang menjadi mangsa. Penderitaan mula mengetuk pintu rumah masing-masing, sama ada di bandar atau di kampung. Kini, hidup mereka umpama meniti mata pisau. Berjalan salah, berhenti pun salah. Kedua-duanya akan membuatkan mereka terluka.
Apa yang berlaku hari ini adalah gambaran pada masa akan datang. Sifir mudahnya ialah apabila politik bercelaru dan sosial tidak menentu, maka ekonomi juga ikut tunggang-langgang.
Bagi yang hidupnya tidak terjejas, mungkin mereka sedang berharap agar keadaan pulih, ekonomi berkembang dan politik berdiri stabil.
Bagi yang terjejas pula, tiada lain yang diharapkan selain dapat mencari sesuap nasi untuk hari esok dan seterusnya.