Menilai konsep hak manusia

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

PADA waktu pandemik ini, pelbagai isu mewarnai negara kita walaupun kebebasan masyarakat Malaysia terbatas. Manusia menjadi gelisah, gusar dan ada yang tertekan dengan kehidupan normal baharu ini. Dalam situasi ini, kerajaan yang bertanggungjawab akan melaksanakan fungsinya sebagai kerajaan iaitu memastikan rakyat berada dalam keadaan selamat.

Ini membuka semula perbincangan kita berkenaan tugas kerajaan itu sendiri. Tugas kerajaan bagi memenuhi dua hal. Pertama, menjaga kepentingan awam. Kedua, memastikan rakyatnya hidup dengan beradab (virtues).

Iklan
Iklan

Peranan kerajaan dan rakyat perlu diletakkan di tempat yang betul supaya adanya suatu keharmonian bagi memenuhi tujuan kita berkerajaan.

Sekatan oleh kerajaan adalah untuk mengelakkan rakyatnya menjerumuskan diri daripada jangkitan Covid-19 yang semakin mengganas.

Iklan

Kita tentu terfikir, hak asasi manusia yang sifatnya sejagat, wujud secara alami ini tidak sepatutnya dibataskan kerana manusia itu ada autonominya sendiri.

Menyekat suatu hak asasi yang sejagat dan diiktiraf adalah suatu bentuk kezaliman. Benarkah faham itu? Sememangnya komuniti dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas tragedi Perang Dunia Pertama dan Kedua, peristiwa pembantaian orang Yahudi dan rejim zalim Apartheid di Afrika Selatan merasakan perlunya digubal suatu prinsip hak asasi manusia yang sejagat supaya peristiwa hodoh dan tragik itu tidak berulang kembali.

Iklan

Maka, komuniti dunia mendatangkan suatu deklarasi sejagat perihal hak asasi manusia yang mesti dipatuhi kerajaan. Dokumen itu ialah Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat PBB.

Namun demikian, Artikel 29 (2) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat PBB menyatakan:"Dalam pelaksanaan hak dan kebebasannya, setiap orang hanya tunduk pada batasan yang ditentukan oleh undang-undang, semata-mata untuk menjamin pengakuan dan penghormatan terhadap hak dan kebebasan orang lain dan memenuhi syarat-syarat moral, keselamatan awam dan kesejahteraan umum yang adil dalam masyarakat yang demokratik.”

Jelas sekali, bagi mengolah persetujuan semua kerajaan, maka Artikel 29 (2) ibarat kenyataan catch-all yang mengiktiraf kedaulatan sesebuah negara bagaimana hak asasi sejagat ini perlu dilindungi menurut tradisi, adat dan budaya sesebuah negara.

Hak asasi manusia walaupun bersifat sejagat tetapi pematuhannya bersifat kontekstual berdasarkan kepada budaya dan agama sesebuah negara.

Persoalan moral misalnya adalah sesuatu pengiktirafan komuniti dunia bahawa kebebasan bermaksud memilih sesuatu yang baik dan bermoral. Misalnya, kebebasan untuk menukar jantina bukanlah suatu kebebasan, sebaliknya ialah kezaliman diri sendiri dengan menukar jantina yang bertentangan dengan hakikat fitrah manusia itu sendiri. Dalam hal ini, kerajaan boleh melalui undang-undang menghalang kezaliman ke atas diri sendiri itu terus berlaku.

Contoh yang lain, kerajaan berhak untuk menyekat rakyatnya rentas negeri atau bergerak atas faktor keselamatan awam semasa pandemik ini.

Kebebasan bergerak akan menyebabkan jangkitan bertambah dan memudaratkan orang lain.

Bagi memastikan segala kemudahan perubatan dan hospital mencukupi bagi merawat pesakit Covid-19, kerajaan melalui undang-undang berhak untuk mengambil tanah individu bagi membina hospital dan kemudahan tambahan untuk tujuan kesejahteraan umum walaupun ia bertentangan dengan hak kepada harta yang dinyatakan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat PBB.

Jelas sekali Artikel 29(2) ini cuba dipadamkan oleh pejuang hak asasi manusia dengan hanya menumpukan kepada hak-hak asasi sejagat tetapi tidak pula mengutarakan hakikat bahawa dokumen yang sama memberikan suatu keseimbangan antara tugas kerajaan dan pelindungan hak-hak asasi manusia atas dasar menjaga kepentingan awam.

Maka, kerajaan wujud bagi memastikan keadilan kepada semua dapat dilaksanakan. Sesungguhnya, pandemik ini membuka mata kita untuk memahami konsep hak asasi manusia dengan betul.

* Mohd Jamizal Zainol ialah Pengerusi, Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE)