Nazir terkilan ayahnya dikaitkan dengan insiden 13 Mei

Iklan

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi CIMB Bank Group Bhd, Datuk Seri Nazir Razak, melahirkan rasa terkilan apabila kenalan lama keluarganya, Tan Sri Tommy Thomas mengaitkan bapanya Tun Abdul Razak Hussien dengan insiden 13 Mei 1969 di dalam bukunya berjudul 'My Story: Justice In The Wilderness'.

Menurut adik kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu, apa yang dipaparkan Tommy dalam buku tersebut hanya sangkaan semata-mata dan tidak disokong dengan bukti.

Iklan
Iklan

Tambahnya, Tommy sekadar bergantung kepada kenyataan bahawa Tun Razak adalah individu yang paling mendapat faedah daripada rusuhan tersebut dan tergesa-gesa mahu menjadi perdana menteri selepas diberitahu sedang berdepan masalah kesihatan.

"Ini bukanlah 'bukti' sama sekali, apa lagi bersifat perundangan.

Iklan

"Ini sangkaan semata-mata. Lima puluh tahun kemudian dan tanpa sedikit pun bukti yang boleh dipercayai dibawa untuk menyokong pandangan ini," katanya dalam satu hantaran di laman sosial beliau.

Mengulas lanjut mengenai buku tersebut kata Nazir, Tommy juga memberitahu dia tertanya-tanya mengapa perdana menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra melantik Tun Razak sebagai Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Iklan

Menurut Nazir bapanya dilantik atas kemahuan Tunku Abdul Rahman sendiri berdasarkan pada ketika itu ia adalah pilihan terbaik dan beliau turut menyokong pelantikan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, untuk membantu Tun Razak.

Ujar Nazir, walaupun setiap orang berhak atas pendapat dan pandangan mereka sendiri mengenai apa yang berlaku, dia memutuskan untuk berkongsi pandangannya yang berbeza kerana Tommy merupakan bekas Peguam Negara.

"Perlu ditegaskan bahawa peristiwa ini (13 Mei) berlaku lama sebelum dia menjadi peguam dan kakitangan kerajaan pada ketika itu banyak memperkatakan kepemimpinan serta integriti peribadi Tun Razak serta usahanya mengembalikan keamanan dan kestabilan, melancarkan reformasi dan memulihkan Parlimen," katanya