SHAH ALAM - Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) Allianz4Good telah meneroka bidang literasi kewangan dengan menganjurkan lebih 180 program untuk mendidik kanak-kanak dan remaja mengenai asas serta pengurusan kewangan.
Ketua Allianz4Good, Ng Siew Gek berkata, program berkenaan dilaksanakan sejak tahun 2012 bersama organisasi bukan bermotifkan keuntungan di seluruh negara.
"Program ini membantu golongan muda dengan kemahiran pengurusan kewangan dan kemampuan untuk membuat keputusan kewangan secara berhemah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, melalui aktiviti yang dianjurkan, ramai berharap ia dapat menerapkan keinginan mereka untuk mengamalkan pengurusan yang terbaik.
Mengulas lanjut, Siew Gek berkata, pada tahun 2019, Allianz Malaysia telah menjayakan program FinWise Kids, sebuah program yang direka khas bagi memperkasakan guru-guru untuk menjadi pemangkin literasi kewangan.
"Program itu telah dibangunkan dan diuruskan oleh EdSpace dan dilaksanakan sebagai program kokurikulum oleh Persatuan Bahasa Inggeris sekolah yang mengambil bahagian dengan nasihat dan kebenaran dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.
Beliau berkata, program tersebut juga menyokong matlamat Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan amalan terbaik untuk literasi kewangan di sekolah-sekolah seperti yang digariskan dalam Strategi Kebangsaan untuk Literasi Kewangan 2019-2023 mereka.
"Program selama sembilan bulan ini disertai lapan buah sekolah dari Kelantan dan Lembah Klang. Sekolah yang terlibat menghadiri sesi latihan pelancaran menerima bahan-bahan pembelajaran untuk perlaksanaan program tersebut,” katanya.
Menurut Siew Gek, tiga buah sekolah dari Lembah Klang iaitu Sekolah Kebangsaan Yaacob Latif, Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Razak 2, dan Sekolah Swasta Sri Bestari dari Lembah Klang telah selesai menjalani kesemua sembilan modul dari program dan menerima projektor mudah alih bernilai sehingga RM2,000.
"Pandemik Covid-19 telah membawa pelbagai cabaran dalam semua bidang, daripada penjagaan kesihatan kepada kenaikan kadar pengangguran.
"Ia juga telah memberi kesedaran mengenai keperluan untuk literasi kewangan yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.