KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang mewujudkan pusat kuarantin khas bagi menempatkan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membabitkan keluarga terkesan Covid-19.
Pusat kuarantin yang dibuka di asrama Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (Kuipsas), di sini mula diaktifkan pada Khamis bagi memudahkan pelajar mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lebih selesa.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini seramai 12 pelajar lelaki dan tujuh perempuan yang terdiri dalam kalangan anak kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah ditempatkan di situ.
"Penempatan ini berdasarkan keperluan prosedur operasi standard (SOP) yang mana seorang pelajar akan ditempatkan dalam satu bilik.
"Di sini mereka dapat mengikuti sesi PdPR dengan lebih selesa dengan pelbagai kemudahan disediakan termasuk internet," katanya ketika ditemui selepas melawat pusat kuarantin itu pada Jumaat.
Wan Rosdy berkata, keperluan makan dan minum pelajar disediakan dan diselaraskan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, pihak Kuipsas menyediakan 200 bilik selain dewan bagi pelajar berkenaan menduduki peperiksaan SPM nanti.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM10,000 sebagai sumbangan kepada pelajar terlibat untuk membeli keperluan peribadi.
"Jika perlu kerajaan negeri akan menambah peruntukkan itu," tambahnya.
Wan Rosdy berkata, pelajar terlibat akan ditempatkan di pusat itu sehingga keadaan benar-benar selamat untuk mereka kembali ke rumah.
"Sekiranya ibu bapa atau ahli keluarga yang positif disahkan sembuh mungkin baru kita benarkan mereka pulang ke rumah masing-masing,"katanya.
Pada masa sama, Wan Rosdy berkata, pusat itu juga terbuka kepada pelajar lain yang bakal menduduki SPM dan menghadapi situasi sama.
"Mereka perlu mengikuti prosedur termasuk membuat saringan Covid-19 dan jika ada ada keperluan, kita akan tempatkan mereka di sini," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri berterima kasih kepada pihak Kuipsas, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dan semua agensi yang terlibat dalam operasi pusat kuarantin tersebut.
Pada lawatan itu, Wan Rosdy turut diberi taklimat mengenai operasi pusat kuarantin itu selain mengambil kesempatan berinteraksi dengan pelajar terlibat melalui kemudahan intercom.