PERTAHANAN Manchester United, Harry Maguire tidak menolak ramai yang mengkritik dan membenci The Red Devils selepas pasukan itu kembali menemui rentak dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menurutnya, dia dan para pemain yang lain bertekad membalas kebencian tersebut dengan memenenangi kejuaraan EPL musim ini, sekali gus menutup mulut pihak yang sering mengkritik dan membenci United.
Iklan
Iklan
"Saya menikmati dan saya tidak rasa kecewa dengan apa yang diperkatakan oleh orang yang membenci United. Saya akan tersenyum lebar ketika menjulang trofi pertama saya di kelab ini nanti kerana saya tahu ramai yang tidak mahu kami berjaya.
"Kami adalah pasukan yang paling kerap diperkatakan di dunia ini dengan ramai orang tidak mahu kami memenangi apa-apa kejuaraan. Tetapi, sekarang ini kami selangkah demi selangkah sedang mencipta kejayaan dan sudah terbiasa dengan pihak yang membenci kami itu," katanya.
United merupakan sebuah pasukan besar di EPL yang mempunyai ramai peminat, namun tidak terkecuali turut memiliki ramai pembenci terutama dalam kalangan penyokong rival pasukan itu.
The Red Devils ketika ini dianggap sebagai calon juara untuk memenangi saingan EPL selepas bangkit daripada persembahan hambar pada permulaan liga musim ini.
Malah, skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu juga berada pada rentak positif meraih beberapa kemenangan penting selain berada di kedudukan kedua liga dengan 44 mata dibezakan hanya tiga mata dengan Manchester City yang menjadi pendahulu EPL.