PKP serlah bakat memasak BraderSelva

Iklan
Selvakumar memasak ikan siakap lada hitam semasa memancing di Kampung Sitiawan.

KUALA LANGAT - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi fasa terbaik untuk mencungkil dan mengasah bakat memasak bagi individu yang berminat dalam bidang itu.

Tidak terkecuali bagi pelatih atau konsultan teknikal pengaturcaraan Selvakumar Arunasalam, 37, yang mula berjinak-jinak dalam dunia masakan sejak PKP 1.0, terutamanya apabila dia menjalani kuarantin di rumah selama14 hari selepas pulang memancing BlackBass di Kalimantan Utara, Indonesia pada Mac tahun lalu.

Iklan
Iklan

Selvakumar atau lebih dikenali sebagai BraderSelva dari Telok Panglima Garang, Klang memberitahu, ketika menjalani kuarantin, dia meminta isteri serta dua anak yang masih kecil tinggal di rumah mentuanya.

Selvakumar memasak berlatar belakang ladang kelapa sawit bersama anak sulungnya Varma.

"Saya cuba berjinak-jinak dengan periuk dan api. Bermula dengan nasi goreng, sekarang saya boleh memasak pelbagai jenis masakan sama ada kuih atau kek.

Iklan

"Dalam tempoh ini, saya juga aktif memuat naik gambar masakan di grup Facebook masakan Suami Masak Apa Hari Nie dan Masak Apa Tak Jadi Hari Nie yang popular dalam tempoh PKP 1.0 lagi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Niat untuk berkongsi resipi dan pengalaman memasak mendorong Selvakumar mencipta saluran YouTube miliknya iaitu BraderSelva.

Iklan

"Pada bulan lalu, saya mencipta 'channel' di youtube dan mula memuat naik rakaman masakan dan kini saya mempunyai 4,000 langganan dan pengikut," katanya.

Selvakumar masak ketam nipah di Telok Panglima Garang.

Keletah dan gelagat dua anaknya, Varma, 6, dan Varun, 3, turut mencuri perhatian warga maya kerana sering menemaninya memasak.

Mengakui hobinya ialah memancing, dia pada awalnya hanya pandai memasak mi segera dan telur goreng sahaja tetapi kini mengalahkan seorang chef!

Justeru, bagi membuktikan dirinya gemar memasak, Selvakumar mencabar diri dengan mempelbagaikan jenis masakan di lokasi berbeza.

"Saya cuba menyahut cabaran dan mencipta kelainan antaranya memasak sardin dalam bot ketika memancing toman di empangan Felda Klau, Raub Pahang.

"Untuk cabaran kali kedua, saya cuba memasak hasil pancingan di Sitiawan di mana, saya dapat memancing siakap di muara sungai dan seterusnya menyiang serta memasak ikan tersebut.

"Cabaran ketiga pula saya cuba buat seperti survival dengan mencari ketam nipah dan memasak ketam tersebut di kawasan nipah.

"Ditambah pula kini, kerajaan melaksanakan PKP 2.0, saya tidak dapat memancing seperti biasa. Akhirnya saya memasak di kawasan berdekatan rumah termasuk ladang kelapa sawit," ujarnya.

Selvakumar memancing siakap.

Enggan mendabik dada dengan pujian, Selvakumar berkata, apa yang dimiliki ialah hasil sokongan ahli keluarga, rakan-rakan dan warga maya.

"Bagi saya, saya belum popular. Perjalanan saya masih jauh, tetapi sokongan kawan di group masakan Suami Masak Apa Hari Nie dan Masak Apa Tak Jadi tetap padu dan amat mengalakkan.

"Menerima pujian dari warga maya, pastinya menjadi inspirasi dan menyuntik semangat saya untuk pelbagaikan lagi masakan serta berkongsi masakan tradisional masyarakat India kepada semua 'followers' juga rakyat Malaysia," katanya.

Memasak sardin di empangan Felda Klau, Raub Pahang.