KUALA LUMPUR -"Alhamdulillah, saya tak perlu solat Jumaat di tepi masjid lagi," kata salah seorang jemaah setia yang ingin dikenali sebagai Adnan yang sering ke Masjid Abdul Rahman Bin 'Auf, Jalan Puchong, di sini untuk menunaikan solat fardu dan solat Jumaat.
Katanya, sebelum ini dia terpaksa solat di tepi masjid kerana tidak sempat masuk ke masjid apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menghadkan jumlah jemaah kepada 30 orang sahaja.
"Beberapa minggu sebelum ini, saya bergegas untuk hadir ke masjid untuk menunaikan solat tapi pengurusan masjid memaklumkan jemaah sudah penuh. Saya mengambil keputusan solat di tepi masjid.
"Tapi sekarang, alhamdulillah saya tidak perlu bergegas lagi," katanya kepada Sinar Harian.
Tinjauan Sinar Harian pada Jumaat mendapati seramai kira-kira 450 jemaah lelaki hadir untuk menunaikan solat Jumaat di sini setelah pihak Jawi bersetuju menambah bilangan jemaah separuh daripada kapasiti sebenar masjid atau surau pada Khamis.
Jemaah dilihat mula datang ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat seawal jam 10.45 pagi untuk mendapatkan tempat.
Tinjauan juga mendapati pihak jawatankuasa masjid melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Seorang jemaah yang ingin dikenali sebagai Fawas, gembira dengan pengumuman Jawi berkenaan penambahan jumlah jemaah di masjid dan surau.
Dia yang bekerja berhampiran dengan masjid itu berkata, dia kini tidak perlu risau untuk bergegas ke masjid bagi menunaikan solat kerana jumlah maksimum jemaah sudah bertambah.
"Walaupun pejabat saya hanya di sekitar sini, tapi kadang-kadang bila saya sampai ke sini, pihak masjid tidak membenarkan saya masuk kerana sudah penuh.
"Walaupun pengumuman ini cukup menggembirakan buat saya, tapi kita sebagai masyarakat masih perlu amalkan SOP supaya perkara sebegini dapat diteruskan," katanya.
Sementara itu, salah seorang jemaah yang ingin dikenali sebagai Aiman berkata, keputusan yang dibuat oleh pihak Jawi adalah yang terbaik buat masa ini.
Bagaimanapun dia mencadangkan pihak yang berkenaan merancang dengan lebih teliti tempoh kelonggaran itu memandangkan jumlah kes Covid-19 yang meningkat saban hari.
"Walaupun saya menyokong keputusan yang dibuat oleh pihak Jawi berkenaan pengumuman kelonggaran menunaikan solat di masjid, namun saya masih risau kerana kes Covid-19 masih tinggi ketika ini.
"Saya harap apabila vaksin Covid-19 tiba, semuanya akan kembali seperti sedia kala dan orang ramai tak perlu takut untuk ke masjid," katanya.
Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bersetuju menambah bilangan jemaah bagi solat Jumaat dengan jumlah separuh daripada kapasiti sebenar masjid atau surau Jumaat berkuat kuasa Jumaat.
Selain itu, kebenaran sama turut diberikan bagi pelaksanaan solat fardu di semua masjid, surau Jumaat dan surau seluruh Wilayah Persekutuan.