KUALA LUMPUR - Dua sindiket penipuan pelaburan iaitu 'Cryptocurrency Emas Fintech' dan 'Iskandar Investment' berjaya ditumpaskan setelah polis memberkas 16 individu secara berasingan pada Isnin dan Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya memberkas sembilan lelaki berusia antara 34 hingga 62 tahun yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan 'Cryptocurrency Emas Fintech' di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang pada Rabu.
"Kita merampas lima kenderaan mewah pelbagai jenama, pemacu keras, 10 kad pengeluaran tunai (ATM), 12 kad kredit, 20 telefon bimbit dan enam komputer riba," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.
Zainuddin berkata, modus operandi sindiket ini adalah menawarkan sistem pelaburan perdagangan mata wang digital dengan menggunakan platform mata wang kripto.
"Mereka turut mendakwa terdapat jalinan kerjasama dagangan dengan 'exchanger' terkenal dunia," katanya.
Beliau berkata, sindiket yang aktif sejak April tahun lalu itu menawarkan pulangan pelaburan antara 10 hingga 15 peratus setiap bulan dan menjanjikan sistem dagangan mata wang yang kononnya selamat dan canggih.
"Modal pelaburan ini adalah menggunakan mata wang kripto seperti bitcoin dan USDT.
"Para pelabur telah didedahkan dengan pelaburan ini melalui seminar yang dianjurkan melalui kaedah perjumpaan secara bersemuka atau 'zoom meeting'," katanya.
Menurutnya, para pelabur seterusnya akan diberikan 'user' untuk 'login' dalam lawan web pelaburan itu bagi melihat transaksi dagangan.
"Namun pada Disember lalu, laman web tersebut telah ditutup dan tidak dapat diakses oleh para pelabur menyebabkan mereka berasa telah ditipu," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 43 laporan polis telah diterima membabitkan kerugian RM2,820,780,18.
"Kita masih mengesan seorang lelaki tempatan yang disyaki sebagai dalang sindiket tersebut," katanya.
Dalam kes berasingan, Zainuddin memaklumkan pihaknya memberkas tujuh individu termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 27 tahun yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan 'Iskandar Investment' di sekitar Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
"Kita merampas 25 keping kad ATM, tiga Macbook Apple, satu komputer riba, dua beg silang, tiga dompet, wang tunai RM64,994 dan tiga buah kereta," katanya.
"Modus operandi sindiket yang aktif sejak Januari tahun lalu itu adalah mangsa telah didorong melabur secara dalam talian melalui Facebook bagi menjana wang dengan menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa 24 jam melalui tiga pakej yang ditawarkan," katanya.
Zainuddin berkata, pihaknya menerima 41 laporan melibatkan kerugian yang dialami mangsa sebanyak RM831,045,25," katanya.
"Kesemua suspek bagi kedua-dua kes telah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.