KUBANG PASU - Kesediaan Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kemasukan pelajar membuatkan ramai yang menarik nafas lega kerana dapat kembali ke kampus bagi meneruskan pengajian secara hibrid iaitu secara fizikal dan secara dalam talian.
Seorang pelajar Semester 1, Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Dini Nabilah Ahmad berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sera UUM kerana memberi peluang kepada pelajar untuk pulang ke kampus serta merasai suasana pembelajaran kerana ia disifatkan lebih bermakna walaupun hanya belajar secara dalam talian di dalam bilik.
Dini Nabilah yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata, keputusan tersebut diharapkan dimanfaatkan pelajar dengan mengambil peluang supaya lebih fokus dalam pembelajaran, pada masa sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan serta universiti.
"Saya masih belum menetapkan tarikh untuk kembali ke kampus dan berharap dapat melakukannya segera agar pada semester baharu nanti tiada lagi masalah untuk mendapatkan akses internet ketika mengikuti sesi pembelajaran secara maya itu," katanya.
Sementara itu, pelajar tahun akhir Perbankan, Muhammad Yazin Ismail berkata, suasana belajar di kampus amat kondusif jika dibandingkan di rumah kerana di rumah sukar untuk mendapatkan akses internet yang lebih pantas.
Menurutnya, dia memilih untuk berada di kampus bagi memudahkan sesi pembelajaran yang kini banyak diadakan secara maya.
"Sekarang musim peperiksaan akhir dan banyak peperiksaan yang ditukarkan kepada tugasan yang mana membolehkan kami untuk menambah baik dan meningkatkan markah tugasan.
"Belajar secara maya kini sudah mulai serasi walaupun pada mulanya agak sukar, namun dengan kemudahan yang disediakan universiti ia telah banyak membantu memudahkan semua pelajar yang tidak pulang ke rumah masing-masing,” katanya yang berasal dari Jawi, Pulau Pinang.
Bagi pelajar Semester 2, Diploma Pascasiswazah Pendidikan, Zairul Najmi, dia lega apabila menerima berita tersebut namun, seperti semua sedia maklum bahawa sesi pembelajaran secara dalam talian juga tidak begitu berkesan berbanding bersemuka kerana terdapat banyak kekangan dan kekurangan seperti masalah capaian internet di rumah.
Bagaimanapun menurutnya, apabila dapat meneruskan pembelajaran secara dalam talian di rumah, ia lebih menjimatkan faktor kewangan kerana dia tidak perlu berulang ke kampus lebih kerap.
"Tetapi kebenaran untuk pulang ke kampus ini juga bukanlah kegembiraan mutlak kerana negara masih berada dalam keadaan pandemik yang tidak menentu.
"Kita sebagai pelajar perlu menjadi contoh kepada orang lain dengan mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan kerajaan. Saya berharap keadaan ini akan segera pulih seperti sedia kala," katanya yang berasal dari Merbok, Sungai Petani.
Dalam kenyataan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani pada 1 Februari lalu, hanya enam kategori kemasukan semula pelajar ke kampus secara fizikal seperti yang dibenarkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Mereka ialah pelajar program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas, pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian.
Ia juga melibatkan pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus dennen meneruskan pembelajaran secara hibrid, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom, pelajar berkeperluan khas (OKU) dan pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University EnglishTest (MUET), antarabangsa dan badan profesional.