Cubaan curi balak bernilai RM35,000 gagal

Iklan
Salah sebuah jentera yang disita selepas ditemui di hutan atas tanah kerajaan di Kampung Kuala Jengai, Dungun, Terengganu. - (Foto: Ihsan Jabatan Perhutanan Terengganu)

DUNGUN - Jabatan Perhutanan Terengganu menumpaskan cubaan mencuri hasil hutan termasuk lebih 50 batang pokok jaras dan balak pelbagai spesies bernilai RM35,000 di hutan tanah kerajaan di Kampung Kuala Jengai, malam Khamis.

Serbuan 'Ops Katang' kira-kira jam 8.30 malam oleh pasukan anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu menemui beberapa longgokan kayu jaras dan kayu balak bulat pelbagai spesies yang sudah ditebang dan dipotong pelbagai saiz berhampiran sebuah jengkaut.

Iklan
Iklan

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, jentera itu dijumpai oleh penguat kuasa di laluan masuk jalan tersebut sebelum pemeriksaan lanjut mendapati ia berada di dalam kawasan tanah kerajaan.

ROSLAN

"Turut dijumpai beberapa longgokan kayu jaras yang dipotong 1.2 meter berjumlah 30 tual dan kayu balak sepanjang dua hingga lima meter kira-kira 20 batang dipercayai belum sempat di bawa keluar.

Iklan

"Anggota terlibat bertindak menyita dua jentera itu yang dipercayai digunakan untuk kerja-kerja pencerobohan serta semua kayu dihantar ke Depoh Sitaan Jabatan Perhutanan daerah Dungun di Paka, di sini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Jelas Roslan lagi, pihaknya turut komited menangani pencerobohan dan kecurian hasil hutan di tanah kerajaan dan tidak hanya tertumpu di kawasan hutan simpan semata-mata kerana kedua-duanya termaktub di bawah kesalahan Akta Perhutanan Negara 1984.

Iklan

Pada 1 Februari 'Ops Katang' dilancarkan hasil kolaboratif Pejabat Hutan Daerah bertujuan mengekang dan mencegah sebarang aktiviti pembalakan haram atau kecurian apa jua khazanah negeri.

Situasi persekitaran kawasan yang diceroboh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri balak di hutan tanah kerajaan di Kampung Kuala Jengai, Dungun, Terennganu. - (Foto: Ihsan Jabatan Perhutanan Terengganu)

Roslan berkata, operasi disertai 55 pegawai dan kakitangan ini lebih tertumpu di premis kilang berasaskan kayu di seluruh negeri selain melakukan intipan, rondaan dan semakan di 22 kawasan 'hotspot' yang dikenal pasti membabitkan Terengganu Utara, Barat dan Selatan.

Operasi yang dijangka berakhir pada 14 Februari ini diyakini dapat memberi hasil positif terutama dalam sudut kehadiran penguatkuasaan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).