Mayat reput ditemui dalam longkang

Iklan

BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki warga Bangladesh yang telah reput ditemui di dalam longkang sebuah kilang di Taman Perindustrian Beringin, Juru, di sini pada petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mayat itu ditemui oleh pengurus jualan kilang terbabit kira-kira jam 1.30 petang selepas dia terhidu bau busuk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, curiga dengan bau itu, lelaki berkenaan membuat pemeriksaan di sekitar kawasan kilang dan melihat ulat keluar di bahagian longkang sebelum menemui mayat terbabit.

"Mayat ditemui dalam keadaan mereput dan disembunyikan di dalam longkang yang ditutup dengan penutup jenis simen.

Iklan

"Mangsa dikenali sebagai Mohammar Rajib Mia, 29, dan berasal dari Bangladesh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Shafee berkata, siasatan di tempat kejadian yang dibantu pasukan Forensik Hospital Seberang Jaya mendapati mangsa mengalami kecederaan disebabkan objek tumpul secara dominan.

Iklan

Katanya, temu bual awal dengan pengadu mendapati premis kilang tersebut mempunyai dua pekerja warga Bangladesh dan mangsa dikatakan hilang sejak 15 Januari lalu namun tiada sebarang laporan polis dibuat.

"Hasil siasatan dilakukan kita berjaya mengesan suspek di sebuah lagi kilang milik syarikat yang sama di Jalan Start Avenue Pusat Perniagaan Star Avenue Simpang Ampat tidak lama kemudian.

"Suspek berusia 21 tahun yang juga warga Bangladesh mengakui membunuh rakannya itu menggunakan batang besi," katanya.

Berpandukan keterangan suspek, Shafee berkata, polis berjaya menemukan senjata yang digunakannya iaitu sebilah pisau, tukul besi dan batang besi yang terdapat kesan darah tidak jauh daripada lokasi mayat.

Katanya, terdapat kesan darah di tingkat atas premis yang dijadikan pejabat dan penginapan pekerja.

"Setakat ini seramai tiga orang saksi dan seorang suspek ditahan bagi membantu siasatan kes ini.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat," katanya.