PUTRAJAYA - Air liur awal pagi dan kahak dalaman akan dikaji sebagai sampel alternatif untuk ujian calitan menggunakan RTK Antigen (RTk-Ag) bagi mengesan Covid-19.
Ketua Unit Virologi, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr T Ravindran berkata, pemantauan dilakukan bagi tujuan tersebut.
"Keputusan ujian mendapati sampel berkenaan sama baik dengan sampel hidung dan tekak yang digunakan ketika ini," katanya pada sesi libat urus Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bersama media pada Jumaat.
Menurutnya, penemuan tersebut bakal mengurangkan penggunaan peralatan pelindungan peribadi (PPE).
"IMR sedang mempertimbangkan untuk penggunaan kedua-dua sampel ini bagi ujian RTK-Ag," katanya.
Setakat ini, sampel calitan diambil pada bahagian dalam hidung dan tekak bagi mengesan kehadiran virus Covid-19.
Sementara itu, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Dr Hani Mat Hussin berkata, sebanyak 6,336,804 ujian Covid-19 telah dilakukan di seluruh makmal di negara ini sejak 24 Januari tahun lalu.
"Daripada jumlah itu 4,477,839 ujian dibuat menggunakan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) manakala sejumlah 1,858,965 ujian lagi adalah menggunakan RTK-Ag," katanya.
Sesi libat urus itu turut disertai ahli panel iaitu Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr C Suresh Kumar dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan KKM, Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal ), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim bertindak sebagai moderator.