BAGAN DATUK - Ketiadaan gajet tambahan tidak menghalang lima beradik untuk bergilir-gilir berkongsi menggunakan telefon pintar ibu mereka bagi memastikan tidak ketinggalan dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Bagi ibu kepada lima beradik itu, Asoha Amran, 44, berkata, penggiliran terpaksa dibuat kerana ada satu sahaja gajet untuk digunakan bersama-sama oleh anak-anaknya yang berusia 8 hingga 18 tahun untuk belajar.
Menurutnya, pada sebelah pagi dua anak yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Balai, di sini akan menggunakan terlebih dahulu manaka tiga lagi anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup menggunakan telefon tersebut pada sebelah petang dan malam.
"Memang ada niat nak mohon bantuan tapi takut pula kalau tak layak. Tambahan pula sekarang ada banyak kes-kes scam, saya dan suami sangat berhati-hati.
"Kami ini keluarga susah, jadi berfikir panjang juga nak beli telefon baharu kerana duit itu boleh beli makan dan keperluan lain," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Balai Darat pada Khamis.
Sementara itu, suaminya, Mahmud Nor, 64, berkata, dengan pendapatan kerja kampung memang tidak mampu untuk menyediakan kemudahan gajet bagi setiap orang anak.
Katanya, memang keadaan itu menyukarkan anak-anak untuk belajar dalam keadaan normal baharu namun itu yang mampu disediakan setakat ini.
Dia berkata, keutamaan akan diberikan kepada anaknya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini untuk menggunakan kemudahan itu.
"Saya sangat bersyukur jika ada pihak yang sudi membantu, namun saya bukanlah mahu meminta-minta kerana mungkin ada lagi keluarga lain yang lebih memerlukan.
"Kalau ikutkan saya ada 13 anak tetapi dua daripadanya sudah meninggal, lima masih bersekolah dan selebihnya sudah bekerja serta berkahwin. Anak-anak lain ada membantu tetapi dalam keadaan sekarang kita pun faham," katanya.
Dalam pada itu, kesusahan yang dialami keluarga berkenaan turut mendapat simpati Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) untuk turun bersama-sama melihat keadaan itu.
Ahli Majlis Tertinggi GPMS Kebangsaan, Ezatul Farita Rohawi berkata, pihaknya sedang mencari jalan untuk membantu keluarga tersebut.
Katanya, isu berkaitan masa PdPR antara masalah yang diberikan tumpuan oleh GPMS Kebangsaan supaya ia dapat diselesaikan segera bagi memudahkan pelajar dan ibu bapa.
"Kita sedang mengumpulkan data-data mengenai keluarga yang kurang berkemampuan untuk memiliki gajet bagi tujuan PdPR ini. Kita akan lihat bagaimana mereka boleh dibantu.
"Selain isu gajet, masalah liputan talian internet juga menjadi kekangan kepada pelajar dan ibu bapa untuk mengikuti PdPR ini khususnya di kawasan luar bandar," katanya yang merupakan Yang Dipertua GPMS Cawangan Bagan Datuk.
Beliau berharap pelbagai pihak dapat bersama-sama GPMS bagi membantu pelajar golongan kurang berkemampuan untuk mengikuti PdPR supaya mereka tidak ketinggalan dengan pelajar lain.